Halaman

22 May 2012

Polis tubuh unit berbasikal ronda kawasan pelancong

Oleh FAUZI MOHD

Polis Terengganu melancarkan unit ronda berbasikal polis pelancong bagi menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, antara lokasi yang dironda unit itu ialah sekitar Pantai Batu Burok, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang.

"Sebelum ini kita menggunakan motosikal, berkereta dan berjalan kaki untuk membuat rondaan di kawasan tumpuan pelancong.

"Saya percaya kehadiran anggota polis dengan berbasikal akan memudahkan orang awam terutama pelancong yang mengalami kesulitan mendapatkan maklumat atau bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan pelancaran unit ronda berbasikal polis pelancong di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia negeri, Nasir Khusairi.

Dato’ Jamshah berkata, program itu adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Terengganu dan Polis negeri bagi membantu merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Selain menjaga keselamatan dan membendung kejadian jenayah katanya, unit basikal polis pelancong itu juga akan bertindak membantu dan menyelesaikan masalah orang ramai seperti memberi petunjuk jalan kepada pelancong.