Halaman

25 May 2012

PB Square hampir 46 peratus siap

Oleh: Suriati Ali

Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di bandar raya ini kini mencapai hampir 42 peratus siap.

PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap pada Julai 2013.

Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda berkata apabila siap kelak kompleks itu akan mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT," katanya kepada sidang media di pejabatnya, semalam.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Pentadbian & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman dan Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Pembangunan PMINT, Haji M Harith Hassan.

Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Dato’ Haji Osman berkata langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya.