Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis peringkat negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.
Baginda tiba di dewan itu kira-kira jam 9.30 pagi bersama anakanda, Tengku Nadhirah Zaharah.
Ketibaan baginda di sambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Presiden Yayasan Hepar Malaysia (YPM), Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail Merican dan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr T. Ramelah Senik.
Baginda kemudiannya bertitah dan seterusnya berkenan merasmikan program yang dianjurkan YPM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan UMT.
Baginda turut diberi penerangan lanjut oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail mengenai kesan dan siptom Hepititis kepada manusia.
Sultanah Nur Zahirah kemudianya berkenan melawat gerai pameran yang disedia peserta program.
Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail, berkata kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menjadi pembawa kuman virus hepatitis B.
Katanya, penyakit hepatitis B adalah sejenis wabak yang boleh menyerang secara senyap pada organ tertentu, terutama hati.
“Mereka ini kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.
“Pihak kami menganggarkan kira-kira 350 juta penduduk di dunia mengalami penyakit kronik dan 600,000 penduduk mati akibat hepatitis B pada setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, virus penyakit itu 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus HIV.
“Penyakit ini boleh dicegah sekiranya seseorang itu mempunyai kesedaran tentang risiko selain bertindak awal dengan mendapatkan vaksin di hospital berdekatan,” katanya.