Halaman

24 May 2012

Beri tumpuan kepada pelajaran-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus memberi peringatan kepada semua pelajar tajaan kerajaan agar tidak menyertai sebarang aktiviti yang tidak berfaedah sepanjang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran.



“Sepanjang tempoh pengajian jangan ada yang cuba menyertai mana-mana program yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi dan Diploma Sesi 2012/2013 di Stadium Tertutup Gong Badak, petang semalam.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof.

Katanya, biar pun sudah berulang kali memberi peringatan ini tetapi kerana sayangkan masa depan mereka (pelajar), tumpuan kepada pelajaran lebih penting dari perkara lain yang tidak berfaedah.

Beliau menambah, kerajaan akan bertegas serta menarik balik pinjaman jika terbukti mereka melanggar perjanjian dan perkara sedemikian telah berlaku terhadap sembilan pelajar tajaan YT yang menuntut di Mesir baru-baru ini.

“Saya ingin melihat anak-anak Terengganu terus cemerlang dalam pelajaran, hanya dengan ilmu pengetahuan saja kita dapat mengubah landskap negeri dan negara,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bantuan persediaian kepada 2,577 pelajar yang berjaya menyambung pengajian diperingkat Matrikulasi dan Diploma ke Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung dan Sarawak membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Pelajar yang mengikuti pengajian peringkat matrikulasi menerima RM500 seorang dan diploma RM750 di mana seramai 1851 orang (matrikulasi) membabitkan perbelanjaan RM925,500 dan716 peringkat diploma (RM537,000) serta masing-masing lima orang peringkat matrikulasi dan diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.