Pemberianbantuan ini sangat bermakna sebagai melengkapkan dirinya menjadi salah seorang warga kampus seperti yang dicita-citakan sejak kecil.
“RM750 itu sangat besar ertinya kepada saya bagi meringankan beban keluarga untuk membeli barang-barang keperluan sebelum terbang ke Bintulu Sarawak bulan depan,” kata Muhammad Nur Aiman Mohd Nawi, 18, dari Kampung Pasir Akar, Jertih, Besut.
Sebagai anak seorang pemandu kenderaan di Pejabat Kesihatan Besut serta ibu hanya suri rumah sepenuh masa, kewangan merupakan perkara utama yang difikirkan bila mendapat tawaran belajar ke Sarawak.
“Saya bersyukur bila kerajaan beri bantuan persediaan pelajaran ini dan ia tentu turut mengembirakan semua rakan sebaya saya,” katanya, yang akan mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.
Bagi Fatin Nabilah Mohd Ramli, 18, dari Kampung Durian Penjara, Marang akan menggunakan wang pemberian kerajaan ini untuk membeli untuk menjadi penghuni kampus.
Anak sulung daripada empat beradik ini, ingin memberi contoh terbaik kepada adik-adiknya dalam mengejar ilmu pengetahuan agar menjadi insan berguna pada keluarga, negeri dan negara.
Walau pun ayahnya, Mohd Ramli Mohamad seorang penjawat awam yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Marang serta ibunya Faridah Hasan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaaan Bukit Jejulong, Marang, namun ia diajar menghargai masa serta mementingkan pelajaran.
Fatin Nabilah mengambil jurusan Diploma Pertanian di UPM Sarawak dan sepanjang tempoh pengajian (tiga tahun) akan memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak akan terabit dengan aktiviti luar yang boleh merosakkan masa depannya.
“Saya sedar harapan ibu bapa dan kerajaan yang membuat banyak pelaburan bagi memastikan kami dapat belajar dengan selesa,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.
Majlis berkenaan telah dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali gus menyampaikan bantuan serta menyalami kesemua 2,577 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi dan diploma bagi sesi 2012/2013.