Halaman

21 May 2012

YHM wujud kempen cegah hepatitis


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Hepar Malaysia (YHM) menganggarkan kira-kira 2.5 juta rakyat di Malaysia dikesan pembawa kuman virus hepatitis B di mana 100 kali lebih mudah berbanding virus HIV .

Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail Merican berkata, penyakit hepatitis B adalah sejenis wabak yang boleh menyerang secara senyap pada organ tertentu, terutama hati.

“Mereka ini kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

“Pihak kami menganggarkan kira-kira 350 juta penduduk di dunia mengalami penyakit kronik dan 600,000 penduduk mati akibat hepatitis B pada setiap tahun,” katanya.


 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Majlis Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis peringkat negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan kempen anjuran YPM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan UMT.

Menurutnya, virus penyakit itu 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus HIV, jika seseorang itu mengambil sikap sambil lewa dan enggan mendapat rawatan.


“Penyakit ini boleh dicegah sekiranya seseorang itu mempunyai kesedaran tentang risiko selain bertindak awal dengan mendapatkan vaksin di hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, pihak nya sering menganjurkan pelbagai kempen kesedaran di pelbagai lokasi, termasuk sekolah, jabatan kerajaan dan swasta semata-mata mahu memberitahu orang ramai tentang bahayanya penyakit itu.

“Apa yang menyedihkan ada di antara mereka gemar mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang disampaikan walaupun pelbagai pendekatan diambil.

“Menyedari hakikat itu, YHM kini menggunakan pelbagai saluran media sosial sebagai langkah terbaik menyampaikan maklumat,” katanya.