Halaman

20 May 2012

Pakej berbasikal kunjungi tempat menarik

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia memperkenalkan 33 Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia di seluruh negara sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negara ini sebagai destinasi percutian.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Encik Musa Yusof berkata, sebanyak 21 agensi pelancongan di seluruh negara terlibat dengan program tersebut yang menawarkan pelbagai pakej berbasikal menarik.

Beliau berkata, pakej berbasikal yang diperkenalkan itu merupakan antara produk pelancongan domestik terbaru Tourism Malaysia sebagai menyokong usaha memelihara alam sekitar di samping mengenali pusat-pusat pelancongan.

“Berbasikal adalah baik untuk kesihatan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia peringkat negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Taman Awam Batu Burok semalam. Hadir sama Pengarah Tourism Malaysia Negeri ,Encik Mohd Nasir Khusairi.

Menurutnya, program tersebut yang dilancarkan diperingkat kebangsaan pada 1 April lalu diharap dapat mempromosikan lagi tempat-tempat rekreasi setempat dan pelancongan menarik di seluruh negara.

Beliau menambah, melalui pakej berbasikal yang diperkenalkan itu tiga pakej ditawarkan oleh agensi pelancongan dengan melawat tempat-tempat menarik dan bermalam di samping dapat menyemai budaya gaya hidup sihat terhadap sukan berbasikal.

Katanya di Terengganu kini mempunyai lima agensi pelancongan yang menawarkan pakej berbasikal. Difahamkan harga pakej yang ditawarkan antara RM150 hingga RM829 seorang.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2010, sebanyak RM35 billion pendapatan dapat dijana melalui industri pelancongan domestik yang melibatkan seramai 115.5 billon pelawat.

Mengenai program pelancaran pakej berbasikal di Terengganu beliau berbangga kerana lebih 1,200 peserta daripada 29 kelab seluruh negeri termasuk Kemaman dan Besut menyertainya.

Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia bercadang untuk mengadakan aktiviti berbasikal yang turut mengundang peserta berbasikal dari negeri-negeri lain.