Halaman

23 May 2012

Sidang pengarang diminta aktif sampaikan maklumat Adun


Oleh: Suriati Ali

Sidang pengarang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu diminta aktif menyampaikan maklumat dan aktiviti yang dilaksanakan wakil rakyat masing-masing supaya masyarakat dapat menerima berita secara sahih dan telus.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit YB Haji Khazan Che Mat, berkata mereka perlu bijak menyampaikan setiap maklumat melalui pelbagai saluran dan bukannya wakil rakyat itu sendiri bertindak memberitahu apa yang dilaksanakan.

Katanya, dalam konteks politik, mana-mana pengamal media sosial perlu `berperang’ dalam menyampaikan maklumat sama ada melalui blog, facebook atau twitter.

“Segala maklumat yang disalurkan hari ini lebih cepat berbanding beberapa tahun sebelum ini kerana kebanyakan mereka mereka mempunyai alatan telekomunikasi canggih untuk berbuat demikian.

“Saya mengakui pihak pembangkang lebih aktif memanfaat media sosial untuk menyalurkan sebarang maklumat, propaganda dan fitnah semata-mata mahu mengaburi mata masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup Kursus Kewartawanan di Gem Beach Resort, Mengabang lekar, Batu Rakit, semalam.

Kursus anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) mengandungi pelbagai pengisian menarik, termasuk ceramah fotografi, kaedah penulisan dan sesi soal jawab bersama Ketua Biro Utusan Melayu, Encik Wan Zulkifli Yaacob.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalannya, Encik Ruslan Abd Rahman.

Yb Haji Khazan turut memberitahu, setiap individu boleh menjadi perantara bagi menyampaikan maklumat kerajaan, tetapi mestilah berasaskan sumber yang benar dan telus.

“Kita tidak perlu mengikut cara pembangkang di mana gemar mengada-ada isu yang tidak benar, mewujudkan propaganda tertentu sedang ianya tidak mampu dilaksanakan dan pelbagai lagi,” katanya.