Halaman

19 June 2012

Anak Terengganu, rakyat Malaysia pertama felo Universiti Cambridge

Anak muda kelahiran Terengganu, Azree Shahrel Ahmad Nazri menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pelantikan tutor Universiti Putra Malaysia (UPM) di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Penyelidik berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Beliau menyifatkan kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Azree ketika dihubungi di London bersyukur dengan pelantikan selama tiga tahun yang akan bermula Ogos depan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada ibu, Junaidah Embong dan ayah, Nazri Ahmad serta isteri Azwanis Abdosamad kerana sanggup berkorban. Saya akan membuat penyelidikan sepenuh masa di sini,” katanya menerusi SMS.

Menyifatkannya sebagai tugasan berat, Azree berkata tawaran itu adalah titik permulaan baginya untuk menyokong hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

“Cabaran ini amat berat kerana saya terpaksa bersaing dengan penyelidik antarabangsa lain. Saya juga yakin di luar sana ramai lagi penyelidik yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, cuma mereka mungkin tiada peluang seperti saya,” katanya yang baru menamatkan PhD dalam bidang matematik.




Mohd Hariff terkilan tidak tersenarai ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman
Biarpun senarai pelumba untuk ke Olimpik London bulan depan sudah dimuktamadkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pelumba lebuh raya Mohd Harrif Salleh terkilan dengankeputusan yang tidak memihak kepadanya untuk bersaing di temasya dunia itu.

Pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu yang mana sebelum ini, namanya diuar-uarkan bersama Adeq Husainie Othman berpotensi ke Olimpik, mempertikaikan keputusan badan induk itu yang memilih Amir Mustafa Rusli untuk menggalas tugas berkenaan.

Mohd Hariff berkata, PKBM tidak menepati janji apabila pernah menjanjikan satu slot untuk diisi selepas kejayaan menunjukkan aksi cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan dan Jelajah Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Pelumba itu juga hairan berikutan PKBM memilih Amir Mustafa meskipun pelumba itu kurang menyerlah pada ketiga-tiga kejohanan itu sebelum ini.

Ketika beraksi pada LTdL baru-baru ini, Mohd Hariff berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menjejakkan kaki ke podium dua dan tiga sepanjang kejohanan.

Selain itu, Mohd Hariff turut mempersoalkan tindakan PKBM yang seolah-olah menganaktirikan pelumba pasukan tempatan apabila memilih Amir Mustafa (Drapac Professional Cycling) yang berpangkalan di Australia.

"PKBM sepatutnya memberi keutamaan kepada pelumba daripada pasukan tempatan seperti TSG yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Pemilihan PKBM membuat keputusan memilih Amir Mustafa bagi menemani Adiq Hussainie untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik London berdasarkan prestasi dan kelebihan yang terdapat pada kedua- dua pelumba itu.

Menurut PKBM, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kedua-dua pelumba tersebut beraksi di Eropah sebelum ini kerana corak perlumbaan sejauh 250 kilometer di London nanti memerlukan pelumba yang mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan berupaya menghadapi pendakian yang sukar.




Teganukita 61




JHEAT tubuh Skuad Nasihat Ibu Hamil dan Khidmat Nasihat Awam

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu memperkenalkan kaunter Skuad Nasihat Ibu Hamil dan Khidmat Nasihat Awam yang disediakan secara percuma di klinik-klinik di setiap daerah di negeri ini bermula 1 Julai ini.

Ia diusahakan oleh Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri bagi membantu meningkatkan kesejahteraan ibu, bayi dan keluarga.

Setiap kaunter akan ditempatkan dua orang pegawai JHEAT yang bertindak sebagai fasilitator dalam membantu ibu-ibu hamil mendapatkan segala maklumat mengenai kehamilan serta penjagaan bayi dalam kandungan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, dua fasilitator tersebut kemudian akan bergerak dari satu klinik ke klinik lain di setiap daerah dengan waktu operasi bermula dari pagi hingga petang.


18 June 2012

Tabung Warisan Mara perlu sumbangan ikhlas

Oleh: Aida Abd Rahman
Tabung Warisan Mara memerlukan sumbangan ikhlas daripada ahli korporat, usahawan dan mereka yang pernah memperoleh kemudahan daripada Mara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata tabung itu diwujudkan untuk mengumpul dan mentadbir dana yang akan diwaqafkan khusus bagi keperluan pendidikan anak bangsa.

Katanya sebanyak 50 peratus daripada kutipan tabung itu akan diwakafkan manakala 50 peratus lagi akan digunakan untuk keperluan pendidikan anak-anak Melayu.

Beliau berkata penubuhan Tabung Warisan Mara selaras dengan objektif untuk membudaya semangat menabung secara kolektif dalam kalangan orang Melayu, memberi kesedaran kepada orang Melayu dalam mengangkat martabat bangsa dan menyediakan dana yang berterusan dan berkekalan dalam membantu generasi akan datang.

Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian secara online http://tabungwarisanmara.ypm.org.my atau Facebook http://facebook.com/tbgwarisanmara.



Bomba sukarela bantu JBPT

Oleh; Esah Abdullah

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT), Encik Mohd Salleh Sarbini memuji tindakan pro aktif yang diambil rakan-rakan radio amatur di negeri ini kerana berjaya menubuhkan pasukan bomba sukarela.

“Pasukan ini bertindak sebagai pasukan bantuan awal bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat menangani kes-kes kebakaran yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pasukan sukarela yang berpusat di Seri Nerus ini boleh dijadikan contoh kepada kawasan lain mengenai pentingnya aspek penjagaan keselamatan kebakaran yang perlu ditanam dalam diri masing-masing.

Beliau berkata demikian di majlis Program Bomba Bersama Komuniti 1 Malaysia Taman Perumahan Wakaf Tembesu dan Gong Badak di tapak letak kereta Pasaraya Hock Kee Seng Gong Badak semalam. Perasmian majlis dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sehubungan itu Encik Mohd Salleh memaklumkan taksiran kerugian sepanjang tahun lalu kira-kira RM25.7 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan RM136 juta.

Dalam pada itu pihaknya mendapat 2,404 panggilan kecemasan dengan 815 merupakan kes kebakaran, 1548 kes menyelamat dan 41 kes panggilan khas.

"Panggilan kebakaran rumah dalam daerah Kuala Terengganu mencatat bilangan tertingi iaitu 30 daripada 78 kes yang melibatkan dua orang kanak-kanak terkorban,” katanya.

Beliau yakin tahap kesedaran orang ramai terhadap bahaya kebakaran disusuli langkah pencegahan, mampu menguragkan jumlah kebakaran kerana kebanyakan kes yang berlaku berpunca dari kelalaian serta sikap tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan.




Ibu tunggal cekal terima anugerah keusahawanan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kecekalan seorang ahli perniagaan berstatus ibu tunggal membesarkan sepuluh anak dengan kudrat sendiri sehingga tiada waktu rehat walaupun pada hujung minggu mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila menerima anugerah Tokoh Ibu Tunggal kategori

Keusahawanan sempena program `Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih’ peringkat negeri Terengganu, Di Taman tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Wanita berkenaan, Puan Hayati Mat Zin, 44, dari Taman Desa Jaya, Batu Enam, Kuala Terengganu menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

“Saya tidak menduga menerima anugerah itu selepas dicalonkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia dan meminta saya ke majlis berkenaan beberapa hari sebelum itu,” katanya yang menerima sijil serta wang tunai RM2,000.

Menurut Puan Hayati, dia mula melibatkan diri dengan perniagaan makanan warisan nenek dan diteruskan oleh kedua ibu bapa di Pasar Kedai Payang sejak kecil lagi sebelum menjalankan sendiri sebaik tamat alam persekolahan.

“Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya sudah biasa berdikari dan lasak melakukan semua kerja demi mendapatkan duit belanja sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

“Sifat itu berterusan sehingga kini, malah tanpa suami di sisi saya tidak merasakan sebarang masalah dan penamat kepada kehidupan. Sebaliknya, semakin menguatkan saya untuk bekerja lebih gigih dan memastikan perniagaan yang diusahakan bersama anak-anak bertambah maju,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Selain mengusahakan jualan keropok dan buah-buahan di Pasar Kedai Payang, wanita tabah yang bergelar ibu tunggal sejak dua tahun lalu itu turut menjalankan perkhidmatan membasuh kereta sejak tiga tahun lalu, di Hiliran, Kuala Terengganu.

Malah, berhampiran tapak membasuh kereta itu, Puan Hayati turut mengusahakan kedai makan sejak empat bulan lalu selepas mendapat pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50,000.

“Empat anak berusia 18 hingga 23 tahun selain tiga pekerja membantu saya di kedai makan yang hanya ditutup pada Jumaat. Alhamdulillah, perniagaan itu bertambah baik.
Hasil juga agak lumayan dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada kami sekeluarga.

“Saya bekerja setiap hari. Hari Jumaat berniaga di Pasar Borong sehingga tengah hari kemudian menyambung pula berniaga di Pasar Kedai Payang. Saya tidak mempunyai waktu rehat yang khusus kerana tiada istilah letih dalam kamus hidup saya demi membesarkan keluarga walaupun tanpa ketua keluarga dan lelaki bergelar suami,” katanya.

Puan Hayati berkata, rangkaian perniagaan yang dijalankan kini mampu memberi pulangan bersih yang mencecah sehingga RM600 sehari.





Pas hilang matlamat perjuangan

Oleh: Suriati Ali

Parti pembangkang terutama Pas kini dilihat sudah hilang matlamat dan hala tujunya berikutan bersiri-siri masalah yang menimpa di mana terbaru berkaitan isu minta tangguh haji demi pilihan raya dan dinar emas.

Ketua Penerangan Perhubungan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata jika selama ini, sesetengah pihak terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Pas kononnya mereka memperjuangkan Islam, tetapi keadaan itu sudah tidak berlaku lagi.

“Pemimpin Pas bukan saja tidak bercakap pasal agama sekarang ini, tetapi mereka sudah sanggup bersengkokol dengan DAP yang secara terang-terang menentang Islam.

“Lebih memalukan, pemimpin Pas sanggup dipergunakan oleh sekutu-sekutu mereka dalam pakatan pembangkang apabila melanggar arahan pihak berkuasa dan menyertai perhimpunan haram.,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.


Katanya, semua pihak, termasuk mufti telah mengeluarkan pandangan agar umat Islam tidak menentang arahan pemerintah dan melakukan tindakan yang boleh mendatangkan musibah kepada umat Islam dan masyarakat negara ini.

“Tetapi, pada masa yang sama ramai pemimpin Pas sanggup mengetepikan pandangan tokoh-tokoh agama dan mufti, sebaliknya menyertai perhimpunan haram yang merugikan banyak pihak,” katanya.

Beliau meminta pengikut dan penyokong Pas meninggalkan perjuangan parti itu yang sudah terpesong jauh dari perjuangan asal mereka dan menyokong kerajaan semasa.

“Kerajaan Terengganu hari ini sedang bertungkus lumus memartabatkan syiar Islam dan memberi keutamaan kepada soal pendidikan anak-anak,’ katanya.

“Oleh itu, katanya, tidak ada sebab mengapa segelintir rakyat negeri ini masih menentang kerajaan dan menganggap apa yang dilakukan pemimpin sekarang ini tidak Islamik,” katanya.





PMINT tawar rumah dengan harga berpatutan

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) terus berusaha membangunkan kemudahan perumahan dengan harga berpatutan di Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang lebih selesa dan kondusif.

Harga yang ditawarkan bagi setiap unit bergantung kepada jenis rumah iaitu rumah kos rendah ditawarkan pada harga RM42,000 dan rumah mampu milik pula RM62,000.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, permohanan terhadap projek perumahan yang dibina secara berperingkat-peringkat di Pulau Duyong itu sangat menggalakkan tetapi terpaksa ditapis dengan mengutamakan penduduk setempat.

“Apa yang membanggakan projek pertama mengandungi 120 unit rumah mampu sudah pun didiami sepenuhnya sejak lima tahun lalu.

“Projek kedua melibatkan 176 unit dengan keluasan 844.75 kaki persegi pula sudah siap sepenuhnya, akhir tahun lalu, mereka yang terpilih dijangka mendiaminya selepas mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF),” katanya.

Katanya, pihaknya tidak jemu berusaha dengan memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat, termasuk berkaitan rumah perkedaian, tempat letak kereta dan sebagainya.
“Kita membina rumah dengan harga berpatutan bagi memastikan penduduk di Terengganu memiliki kediaman yang lebih selesa dengan suasana kondusif,” katanya.





YPK perkasa pendidikan awal kanak-kanak

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu mampu menjadi negeri contoh kerana kejayaannya menggerakkan program perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi perkhidmatan pengasuhan, pendidikan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak melalui 43 buah Taska di seluruh negeri.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti, aktiviti Taska dirancang bagi memenuhi perkembangan secara menyeluruh merangkumi fizikal, bahasa, kognitif serta sosio emosi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Mohd. Safaruddin Mustaffa berkata, konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti Taska membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan mereka.

Pada masa ini katanya, pengoperasian Taska di seluruh negeri itu merangkumi lapan buah di Parlimen Besut, Setiu (5), Hulu Terengganu (3), Kuala Nerus (4), Kuala Terengganu (6), Marang (3), Dungun (10) dan Kemaman (5).

“Taska YPKT menggunakan kurikulum dan garis panduan bersepadu yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta perananya dimantapkan dengan penerapan Program Permata Negara,” katanya ketika dihubungi Teganukita semalam.

Tambah Mohd. Safaruddin, tempoh pengasuhan lima hari seminggu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut membantu golongan ibu bapa yang bekerja dan berpendapatan rendah menguruskan penjagaan bayi serta anak-anak mereka.

Katanya, yuran bulanan sebanyak RM200 dikenakan untuk penjagaan kanak-kanak bawah satu tahun, berumur satu hingga empat tahun (RM180) dan berumur lima hingga sembilan tahun (RM150).

Bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti para pengasuh dan guru di Taska YPKT ujarnya, pelbagai kursus dan bengkel dianjurkan bagi meningkatkan keberkesanan program di pusat asuhan itu.

Antara program yang disertai termasuklah Kursus Pendidik Permata, Bengkel Bermain Bersama Kanak-Kanak, Bengkel Ciptaan Kreatif Kanak-Kanak, Bengkel Pemakanan dan Hidangan Kanak-Kanak dan Bengkel Seni Persembahan Kanak-Kanak.

“Turut dianjurkan bengkel penguasaan Bahasa Inggeris dan literasi awal kanak-kanak selain lawatan kerja guru-guru taska,” jelas beliau.

Selain itu katanya, program Hafazan Muqaddam yang menjadi permulaan kepada pembelajaran al-Quran turut diberi penekanan di Taska YPKT.

Tahun lalu kata Mohd. Safaruddin, seramai 1,012 kanak-kanak di Taska YPKT berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

"Ia langkah awal untuk kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan," ujarnya.