Halaman

11 July 2012

SEKIRANYA PAS PALING KUAT, KENAPA?



Oleh FAUZI MOHD

1.Kenapa PAS tukar asas perjuangan? Gugurkan kempen negara Islam dan hukum hudud yang mereka perjuangkan sekian lama, tetapi pada masa yang sama DAP dan PKR masih kekalkan asas perjuangan mereka.

2.Kenapa PAS menjadi ‘bisu’ dalam isu kebanjiran rumah-rumah urut, pusat hiburan dan premis menjual arak di Selangor dan Kedah?

3.Kenapa PAS tidak menyokong penentangan terhadap agenda anti-murtad, penggunaan nama Allah oleh penganut bukan Islam, sedangkan satu ketika dulu ada pengikut PAS terlibat dengan demonstrasi di hadapan Bar Council?

4.Kenapa mereka sanggup bersetuju dengan Anwar Ibrahim yang terang-terang terlibat skandal video seks bersama wanita China?

5.Kenapa PAS tidak berani menobatkan Presidennya sebagai bakal Perdana Menteri, sebaliknya menyokong individu yang menghadapi tuduhan-tuduhan liwat sebagai ketua pakatan itu.

6.Kenapa PAS ‘julang’ Buku Jingga yang tiada perjuangan ‘tukar’ perlembagaan kepada Islam, dalam masa yang sama ‘bungkus’ buku Dokumen Negara Islam.

Adakah Presiden PAS mahu zahirkan sebenarnya parti itu, PALING KUAT ditindas, PALING KUAT ditipu, PALING KUAT kena ‘cucuk hidung’, PALING KUAT kena amaran dan ugutan.

SEandaikan PAS dilabel PALING KUAT, siapa pula paling lemah dalam Pakatan Rakyat? Adakah Presiden PAS sindir Anwar Ibrahim yang begitu gelojoh mahu menjadi PM?


WAJAH-WAJAH SUKMA PAHANG XV 2012

Aksi `Badang' Terengganu, Mohamad Hisyamuddin Zuhalmi yang berjaya merangkul dua emas dalam acara angkat berat, hari ini. (10 Julai 2012)


Gambar-gambar oleh Ali Tengah dari Kuantan, Pahang.



10 July 2012

PM temu lebih 10,000 pelajar di Dungun

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Lebih 10,000 pelajar dari seluruh negara dijangka menyertai Program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Arena Square, Dungun, Jumaaat ini, yang bakal dilancarkan Dataran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Mereka akan menyertai kira-kira 10,000 penduduk tempatan yang akan membanjiri dataran itu bagi menyambut Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari di Terengganu.


Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Ketih, kira-kira jam 8.45 pagi dan terus ke Arena Sduare bagi menyampaikan amanat, seterusnya melancarkan program tersebut.

Selepas itu beliau dan rombongan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong dan hadir pada Majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong, pada jam 2 petang.

Pemimpin nombor satu negara itu akan menghadiri Program Bersama Anggota Rela di Stadium Tertutup Gong Badak yang dijangka dihadiri 20,000 anggota berkenaan dari seluruh negeri, sebaik selesai program berkenaan.

Beliau dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu selepas selesai majlis tersebut.



Had kedatangan pelancong ke pulau

Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah Abdillah (Pelatih)

Kerajaan negeri akan mengehadkan kedatangan pelancong dan muatan barangan ke beberapa pulau peranginan tersohor di Terengganu dalam usaha memulihara alam semula jadi demi manfaat generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti beberapa aspek keperluannya sebelum ia boleh dilaksanakan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji kemungkinan mengehadkan barangan mengikut jumlah jam pengunjung berada di pulau-pulau berkenaan bagi menikmati alam semula jadi.

“Pendekatan kita pada peringkat awal ini adalah untuk memikirkan berapa jam dibenarkan berada di pulau dengan bermalam di tanah besar.

“Mungkin kita akan menyediakan pakej tiga hari satu malam iaitu dua hari di tanah besar dan satu hari di pulau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium tiga hari dan berakhir esok (11Julai) itu.

Dato’ Abdul Rahin turut memberitahu,langkah itu wajar dilaksanakan segera kerana pihaknya mendapati tabiat penggunaan syampu, air kumbahan, baki makanan, sampah sarap dan sebagainya yang dibuang ke laut oleh pelancong semakin serius.

“"Apabila sampah terlekat pada batu karang, ianya menghalang batu karang daripada mendapat cahaya matahari menyebabkan ia rosak dan mati selain daripada batu karang patah dipijak oleh perenang yang tidak profesional," katanya.

Pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini ialah Pulau Perhentian, Lang Tengah, Redang, Kapas serta Pulau Bidong yang dikawal oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


UMT sedia kaji kemasukan pelancong ke pulau

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia mengkaji jumlah kemasukan pelancong dan kuantiti muatan barangan ke pulau-pulau di Terengganu bagi mengelak berlakunya kepupusan khazanah dan hidupan laut.

Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili, berkata langkah itu amat wajar kerana hidupan laut seperti batu karang dan penyu kini semakin pupus akibat kelalaian pengusaha chalet dan pelancong.

Katanya, pelbagai faktor boleh menyebabkan aset laut itu mudah rosak, antaranya penggunaan `kaki itik’ (alat renang) serta sisa buangan seperti air sabun dan syampu.

“Pihak kami serius membendung masalah seumpama ini kerana dibimbangi generasi akan datang tidak lagi mengenali apa yang dimaksudkan batu karang, rumpai laut, penyu dan sebagainya.

“Kita akan mencari apakah polisi dan undang-undang yang sesuai supaya sumber asli di sekeliling pulau-pulau tersohor itu sentiasa berada dalam keadaan baik selain tidak mendatangkan kerugian kepada pelbagai pihak,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (11 Julai) itu.

Prof Dr Noor Azhar berkata, simposium itu merupakan aktiviti utama untuk dijadikan sebagai platform bagi memajukan bidang sains kelestarian alam semula jadi.
“Simposium ini menjadi satu aktiviti utama bagi UMT kerana kita ingin menjadi platform untuk memajukan bidang sains ataupun kelestarian alam.

“UMT menjadi fokus kepada badan ini dan ia telah mendapat sambutan yang amat baik pada tahun ini. Ia menunjukkan bahawa platform yang kitra sediakan untuk saintis datang membincangkan hal-hal yang berkaitan alam sekitar ,” katanya.

UMT akan bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu bagi membantu menyediakan polisi atau menjalankan kajian supaya sentiasa berada dalam kelestarian sumber asli.


TNB berusaha baik pulih bekalan kurang tiga jam

Oleh: Aida Abd Rahman
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusaha mematuhi garis panduan dalam syarat dan terma syarikat konglomerat itu bagi membaik pulih gangguan tenaga elektrik dalam tempoh tidak lebih tiga jam sebaik sahaja menerima laporan berhubung permasalahan bekalan itu.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Haji Md Yuslan Md Yusof, berkata dalam situasi tertentu TNB menetapkan tempoh masa tidak lebih tiga jam bagi kawasan industri, manakala di kawasan bandar pula dalam tempoh masa empat jam.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha melakukan kerja penyelenggaraan dan pemulihan bagi memberi bekalan (elektrik) secepat mungkin kepada pengguna.

“Kita faham, pada musim perayaan banyak memerlukan tenaga elektrik, untuk persiapan berpuasa, membuat persiapan juadah hari raya dan sebagainya,” katanya di sidang media sempena Majlis Program Ramah Mesra TNB Bersama Media, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (9 Julai).

Hadir sama, ketua biro dan 30 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar seluruh Terengganu.

Haji Md Yuslan berkata, pihaknya memberi jaminan masalah melibatkan keprluan asas itu dapat diatasi dengan lebih cepat dan berkesan berbanding sebelum ini berikutan pengurusan TNB dikawal secara automatik menerusi pusat kawalan kawasan.




YPU perkenal projek flagship untuk usahawan bumiputera

Oleh:Esah Abdullah

Termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) empat penjuru antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Q-Bena Resources sdn Bhd, Modular Mentari Sdn Bhd dan ZNZ Multi Trade telah memperkenalkan satu lagi projek flagship usahawan negeri ini.



YPU diwakil Ketua Pegawai Eksekuti YPU, Haji Azmi Razik, Q-Bena Resources Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Dato’ Ahmad Che Abdullah, Modular Mentari Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Encik Johari Mohd Said dan ZNZ Multi Trade diwakili Pengarah Urusannya, Haji Zaharuddin Zainal Abidin.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri,

Dato’ Haji Za'aba Mohd Adib (wakil Menteri Besar) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera selaku saksi pada MoU itu.

Konsep dan operasi perniagaan rangkaian ini disediakan oleh YPU dengan kerjasama Q-Bena Resuorces dan penyertaan akan dibuka secara perniagaan berlesen kepada usahawan tempatan yang baru mahupun yang sedia ada.

Menurut Haji Azmi, T-Hardware membawa pendekatan baru ke arah persaingan peruncitan bahan binaan yang lebih menguntungkan dengan membina jaringan perniagaan yang bijak melalui T-Warehouse.

“Sebagai permulaan sebuah T-Hardware kini beroperasi di Kuala Terengganu dan dijangka akan membuka dua tiga lagi dalam tahun ini,” katanya kepada pemberita program di Seminar Transformasi Pembinaan dan Pembekalan Summit 2012, di Terengganu Equestrian Resort (TER) semalam.

Katanya, usahasama ini mampu membina rangkaian perniagaan hardware yang baru di kalangan bumiputera tempatan untuk turut sama meningkatkan kemajuan dan pembangunan perekonomian usahawan terlibat.







JPNT kenalpasti 70 murid Tahun Tiga alami literasi numerasi

Oleh: Aida Abd Rahman
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengenalpasti seramai 70 murid Tahun Tiga di negeri ini berdepan masalah pembelajaran atau literasi numerasi (Linus Tegar).

Malah, sejumlah 38 daripada mereka gagal dalam ujian Linus Saringan Enam, manakala selebihnya masih belum menjalani ujian oleh JPNT dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNT, Haji Ngah Bidin berkata kesemua murid yang gagal itu dikenalpasti mempunyai ciri-ciri murid berkeperluan khas sekali gus bakal ditempatkan di kelas khas pemulihan.

Menurutnya, jumlah 70 orang itu bukan jumlah yang besar jika dilihat pada jumlah keseluruhan murid Tahun Tiga di negeri ini yang mencapai kira-kira 25,000.

“Pihak JPNT dengan kerjasama sekolah masing-masing akan berusaha memulihkan semua pelajar berkenaan supaya mampu pulih dan mengikuti pembelajaran seperti murid normal yang lain .

"Ianya sejajar dengan sasaran yang kita buat iaitu menjelang tahun 2013 nanti, Terengganu akan mencapai status sifar 'linus tegar' sejajar dengan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) yang ditetapkan oleh pihak kementerian," katanya.



Sukma Pahang : Kayuhan emas kedua Ummi Hamimah

Oleh: Aida And Rahman



Kelibat pelumba sandaran Terengganu, Ummi Hamimah Mohamad sekali lagi mencuri tumpuan apabila meraih emas kedua peribadinya apabila mengungguli acara 500m ujian masa wanita dengan merekod 39.642 saat, di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Bandar Baru Temerloh, Pahang, semalam (9 Julai).

Ummi Hamimah, 18, yang meraih emas pertama menerusi acara 200m pecut kelmarin, berkata latihan selama enam bulan di Melbourne, Australia ternyata membuahkan hasil apabila membantunya mencatat masa terbaik semalam.

"Saya sangat berpuas hati dan catatan masa hari ini adalah yang terbaik dalam rekod peribadi saya yang mana sebelum ini hanya 40 dan 41 saat," katanya.

Selain Ummi Hamimah, seorang lagi pelumba yang berada dalam skuad pelapis negara, Malek Marcus Maccrone turut meraih emas bagi acara 500m ujian masa lelaki.

Manakala pelumba Selangor Farina Shawati Mohd Adnan menduduki tempat kedua dengan masa 40.309s manakala pelumba Perlis Jupha Som Net pada kedudukan ketiga dengan 40.407s.

Sementara itu, Malek memenangi emas dalam acara 1km ujian masa lelaki apabila mencatatkan masa 1 minit 10.929 saat.

Pelumba Selangor itu mengenepikan cabaran Muhammad Harif Murlis dari Terengganu yang meraih perak dengan masa 1:11.110s manakala rakan sepasukannya Hamdan Hamidun di tempat ketiga dengan masa 1:11.368s.

"Latihan di Melbourne memang sangat membantu saya hari ini kerana latihan di sana memberi penekanan terhadap fizikal dan mental. Memang saya sentiasa positif ketika perlumbaan tadi.

"Catatan masa hari ini adalah antara yang terbaik saya," katanya.

Ummi Hamimah dan Malek dijadual menyertai Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia di New Zealand pada 22 Ogos depan.






09 July 2012

150 pengkaji memilih Hutan Simpan Gunung Tebu untuk kajian



Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu, Jabi, menjadi pilihan pengkaji dan ahli sains seluruh negara berkampung bagi menjalankan kajian mengenai sumber hutan dan biologi selama lima hari.

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu bertujuan mengenal pasti pelbagai sumber hutan dan tumbuhan yang ada di kawasan berkenaan.

Seramai 150 peserta mewakili pelbagai profesion dari seluruh negara termasuk luar Negara memilih lokasi berkenaan kerana percaya Gunung Tebu mempunyai keunikikan dan keindahan hutan serta alam sekitar yang menakjubkan.

Ia diketuai oleh Prof.Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad akan menamatkan kajian pada Khamis ini yang akan membentangkan pelbagai hasil dan penemuan baru mengenai biologi hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Yang berhormat Dato’ Toh Chin Yaw merasmikan program berkenaan yang bermula hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, Tiumbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan),Dato’Masran Md Salleh dan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Azmi Nordin.

Toh Chin Yaw berkata,ketika ini Terengganu masih mempunyai 544 juta hektar kawasan Hutan Simpan Kekal iaitu 42 peratus daripada keluasan tanah negeri ini. Katanya,

Gunung Tebu memang layak dijadikan lokasi untuk tujuan penyelidikan saintifik kerana ia mempunyai kepelbagaian sumber hutan dan alam flora dan secara tidak langsung ia menyumbang kepada sektor pelancongan negeri.