Halaman

17 July 2012

Terengganu catat kemiskinan tegar 0.10 peratus

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Umi Ikrimah Abdillah
Gambar ZULKIPLI PUTRA.


Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar secara konsisten sehingga mampu mencatat penurunan 0.10 peratus menjelang akhir tahun lalu berbanding 1.51 peratus pada 2009.

Manakala kadar rakyat miskin pula mencatatkan penurunan sebanyak 3.08 peratus bagi tahun lalu dan 4.16 peratus (2009).

Berdasarkan perangkaan itu, Terengganu kini berjaya menduduki tempat keempat berbanding empat tahun lalu iaitu ditangga ke sembilan berbanding negeri-negeri lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata perkembangan itu amat positif dalam usaha membasmi kemiskinan, khususnya miskin tegar.

Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai bentuk kemudahan, bantuan, peruntukan dan pinjaman semata-mata mahu melihat rakyat Terengganu mampu hidup selesa dan seterusnya keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Semua bantuan dan program yang direncanakan adalah selaras dengan gagasan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu’.

“Antaranya adalah Bakti Remaja, Tabung Darul Iman, Bantuan Pakaian Sekolah, Bantuan Raya, Dana Sosial, Bantuan e-Book dan Tabung penyakit kronik,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Radio Manis Fm, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd, Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong.

Dalam temuramah yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Dato’ Haji Mazlan turut menyentuh mengenai pencapaian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang memperoleh penarafan empat bintang.

“Kejayaan yang diiktiraf oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia( Mampu) itu dinilai berdasarkan tiga kompenan utama iaitu, pengurusan memperoleh markah 87.01 peratus, perkhidmatan (72.40 peratus) dan pengurusan pelanggan pula memperoleh 94.08 peratus,” katanya.

Manis FM menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ merangkumi pelbagai segmen termasuk hiburan dan agama menemui pendengar 24 jam setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6 fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).



Sukma ke-15 : Dato' Seri Ahmad kongsi kejayaan Terengganu

Oleh: FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sehingga empat kali berturut-turut muncul juara keseluruhan temasya itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said berkata, atlet negeri itu yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi.



"Syukur kerana Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat walaupun pada awalnya sedikit terkilan kerana acara kanu tidak dipertandingkan.

"Malah, ada atlet kita yang tidak dapat bertanding kerana layak ke Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.

Dato' Seri Ahmad turut bangga dengan kontinjen Terengganu kerana berjaya merangkul 62 pingat emas iaitu melepasi sasaran 47 emas sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha kerajaan Terengganu mendapat khidmat jurulatih berkebolehan dari luar negara seperti sepak takraw yang mana kita mendapatkan khidmat jurulatih dari Thailand,” katanya.




TERENGGANU HANELANG...Juara kali keempat berturut-turut Sukma

Detik-detik dinobatkan juara keseluruhan Sukma Pahang XV.







Sukma ke-15 : Terengganu Juara, 33 rekod diperbaharui

Oleh FAUZI MOHD



Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas sekali meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Pahang.

Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.

Pada edisi kali ini, Terengganu yang bertandang ke Pahang dengan Ketua Kontinjen, Wan Nawawi Wan Ismail sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Kejayaan itu mampu mengukirkan wajah gembira buat atlit dan sesiapa saja anak Terengganu termasuk Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said serta Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek yang meraikan kejayaan itu.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.

Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.

Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.

Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.

Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.

Selain Abdul Mubin dan Frenceay, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr turut muncul sebagai atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsan pada Sukma kali ini menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki.

Selain tiga rekod kebangsaan, sebanyak 33 rekod Sukma berjaya diperbaharui, seterusnya meninggalkan memori indah buat kesemua 15 kontijen termasuk Brunei yang bertanding pada temasya kali ini.

Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.

Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.

“Saya harap Sukma dapat berterusan menjadi ‘kilang’ atlet sukan negara berjuang pada temasya lebih besar seperti Olimpik. Jadi kita perlu lakukan sesuatu di peringkat daerah.

“Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen Terengganu kerana muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut selain pujian buat Pahang yang berlaku adil dalam setiap acara yang dipertandingkan,” katanya.

Majlis itu diakhiri dengan penyerahan bendera temasya yang menyaksikan Perlis bakal mengambil giliran menjadi tuan rumah Sukma 2014.

Sebaik menerima bendera Sukma daripada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob, Najib kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

16 July 2012

Tarikh melihat anak bulan Ramadan petang Khamis ini.

Oleh FAUZI MOHD

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat di seluruh negara telah ditetapkan bagi tujuan itu.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.

Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.

Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.

Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang akan disiarkan melalui radio dan televisyen.





Mangsa kebakaran Kampung Baru,Kuala Besut dapat sumbangan



Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa bekas seorang komando tentera yang hilang tempat tinggal selepas rumah miliknya musnah dalam kebakaran mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdulla Md Zin.

Kamaruzaman Che Kob, 51, bersama seorang isteri dan seorang anak lelaki berumur tujuh tahun kini terpaksa menumpang di rumah saudara mara apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11 pagi semalam.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri yang kebetulan berada di kawasan mengambil kesempatan melawat mangsa kemudian menyampaikan sumbangan peribadi RM500

Turut menyumbangkan bantuan ialah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut yang disampaikan melalui Dato’Seri Dr Abdullah.

Ketika kejadian Kamaruzaman bersama isteri tidak ada di rumah kerana menziarah ahli keluarga di kampung berhampiran.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana anak lelakinya yang berusia tujuh tahun yang ditinggalkan seorang diri di rumah itu turut terselamat dari bencana selepas mendapat bantuan jiran yang menyelamatnya.

Abdullah berkata, JKM Daerah Besut sudah mendapatkan maklumat mengenai kebakaran itu dan pejabat terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu mangsa kebakaran berkenaan.

Beliau berharap, Kamaruddin bersabar untuk memulihkan semula kehidupan baru terutama bagi menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

Executive Talk Bersama Prof Dr Chandra Muzaffar 18 Julai

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) akan mengadakan program `Executive Talk Bersama YBhg Prof Dr Chandra Muzaffar, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada 18 Julai ini (Rabu).

Program yang akan bermula jam 8.30 malam turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan tetamu kenamaan yang lain.

Menurut kenyataan, penganalisis politik terkemuka, Prof Dr Chandra akan menyampaikan ceramah bertajuk `Malaysia Di Persimpangan Jalan’ yang akan mengupas secara mendalam berkaitan senario politik semasa negara, hala tuju dan peranan rakyat masa kini.

Menteri Besar turut menyampaikan ucapan penutup pada penghujung program nanti.




Semua pusat daerah mengundi komited anjur Shap

Oleh: Suriati Ali

Semua jawatankuasa program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) di 342 pusat daerah mengundi di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program yang dirancang.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, jawatankuasa yang dilantik peka mengadakan aktiviti seperti majlis penerangan isu-isu semasa, sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong.

“Mereka bersemangat menyahut saranan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana mahu melihat Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya akan datang.

“Program yang dikelola Badan Perhubungan Umno Terengganu itu diadakan bermula 1 Julai lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13,” katanya.

Katanya, Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.

"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

Menurutnya, dia yakin “Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.


Jumlah pelajar Melayu meningkat sertai Pertandingan ROBOCON 2012

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan pelajar Melayu yang mengikuti Pertandingan ROBOCON 2012 Kebangsaan kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara.

Ketua Seksyen Automasi Industri dan Robotik SIRIM Berhad, Susana Kamaruddin berkata, pada tahun ini, jumlah penyertaan pelajar terbabit mencecah 70 peratus daripada 427 peserta.

''Peningkatan tersebut menunjukkan bahawa bidang robotik makin diminati dan tidak lagi dimonopoli kaum lain sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan peserta pertandingan itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetamu kehormat yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Naib Presiden Sirim Berhad, Ir Dr Mohamd Jamil Sulaiman; Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Zakaria Husin dan Jabatan Penerangan Terengganu Hajah Azizah Awang.

Dalam pada itu, Susana memberitahu, pertandingan ROBOCON Kebangsaan 2012 yang berlangsung sejak 12 hingga 17 Julai ini turut memberi kelainan apabila mendapat penyertaan daripada institut latihan serta kolej kemahiran.

Pertandingan Robocon 2012 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu 11 Julai sehingga esok (17 Julai) menyaksikan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan itu dimulai pada tahun 2002.

Turut serta Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Petronas, Politeknik Seberang Prai, Universiti Tunku Abdul Rahman, Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti Segamat, Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu dan Pusat latihan Teknologi Tinggi Kulim.

Difahamkan buat pertama kalinya penganjuran pertandingan tahunan ini diadakan di luar Lembah Klang dan bandar raya ini dipilih kerana dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan.

Pertandingan kali ke-11 dianjurkan bersama kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Bhd., bertemakan Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 Julai.

Pemenang akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.




Program Khas Ulul Albab SMIYT di TER, esok

Oleh: Umi Ikrimah Abdillah

Yayasan Terengganu bakal mengadakan majlis penutup bagi Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz, Yayasan Terengganu(SMIYT) 2012 di Balai Kenanga, Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 pagi, esok (17 Julai).

Majlis yang diserikan dengan penyerahan cek bantuan zakat Majlis Agama dan Istiadat Melayu (Maidam) kepada Yayasan Terengganu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Menurut satu kenyataan, penyerahan cek bantuan zakat kepada Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof bakal disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman.

Manakala penyampaian Anugerah Khas Pelajar Ulul Albab 2012 dan Sijil Ulul Albab pula akan disampaikan oleh Haji Khazan.

Program yang menjemput pelajar, ibu bapa dan guru turut dimeriahkan dengan bacaan ikrar pelajar-pelajar tingkatan satu dan persembahan Kalam Jama’ie oleh pelajar SMIYT.