Halaman

23 July 2012

RM1 juta biayai kaedah bayi tabung uji di HSNZ

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA.


Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 juta kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membiayai Teknik Reproduktif Bantuan (Bayi Tabung Uji) termasuk peralatan sejak perkhidmatan itu dilaksanakan sepenuhnya pada November 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, perkhidmatan Bayi Tabung Uji itu bertujuan membantu pasangan yang mengalami masalah mendapatkan anak.

Menurutnya, sehingga April lalu, HSNZ berjaya mencatatkan kejayaan apabila seramai 18 pasangan berjaya melahirkan 18 orang bayi manakala dua lagi pasangan melahirkan dua pasang bayi kembar.

Kata beliau, ia merupakan kejayaan yang amat membanggakan bagi kerajaan negeri dan HSNZ sekali gus dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan setanding dengan negara-negara maju.

Tambahnya, HSNZ adalah antara hospital kerajaan di negara ini selain Hospital Kuala Lumpur, Hospital Alor Setar, Kedah dan Hospital Likas, Sabah yang menyediakan kaedah perubatan tersebut.

"Secara purata, kira-kira 35 peratus pasangan yang mendapat perkhidmatan itu berjaya menimang cahaya mata berbanding sejak awal pelaksanaannya yang hanya 15 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud merasmikan Forum Awam, Teknik Reproduktif Bantuan (Bayi Tabung Uji) dan Majlis Meraikan Bayi Tabung Uji di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar.

Lebih 800 peserta menghadiri forum awam anjuran Jabatan Kesihatan negeri dan kerajaan negeri itu yang bertujuan meraikan kejayaan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O & G) dalam Rawatan Infertiliti serta memberi informasi mengenai peluang kehamilan kepada orang ramai melalui kaedah tersebut.

Pada forum itu, tiga kertas kerja dibentangkan iaitu Meninjau Kemajuan Rawatan Fertiliti-Dulu dan Masa Kini oleh Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Husain dan Bayi Tabung Uji dari Perspektif Islam oleh penceramah bebas, Zulkifli Muda.

Kertas kerja ketiga bertajuk Teknik Bantuan Reproduktif di Terengganu - Kejayaan dan Cabaran dibentangkan oleh Pakar Perunding O & G HSNZ, Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Kasim.


22 July 2012

Lebih 1,000 menghadiri majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Besut


Pemimpin UMNO Bahagian Besut bersama tetamu pada majlis berbuka puasa petang tadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 1,000 penduduk dari Parlimen Besut menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin UMNO Bahagian itu yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih,petang tadi.

Majlis yang dihostkan oleh Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, turut meraikan fakir miskin dan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Nawi Mohamad yang juga ADUN Jertih, Naib Ketua, Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Kota Putera dan Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut dan Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis itu Idris juga menyampaikan sumbangan zakat kepada 250 golongan fakir miskin dari Kawasan DUN Jertih yang dipilih melalui cawangan dalam DUN berkenaan.

Majlis berbuka puasa itu adalah yang pertama dianjurkan oleh pemimpin UMNO Bahagian itu sempena Ramadan tahun ini dan ia akan disusuli oleh tiga lagi ADUN dan Ahli Parlimen Besut.

Majlis berbuka itu dapat mengeratkan lagi silatulrahim antara penduduk setempat khususnya ahli UMNO di bahagian berkenaan dengan pemimpin mereka.

Idris yang juga Pengerusi MARA gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk daerah itu terhadap majlis berkenaan sambil berharap orang ramai akan terus memberi sokongan kepada majlis yang sama yang akan diadakan di kawasan DUN masing-masing.

Majlis berbuka puasa Ahli-Ahli Yang Berhormat Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

UMNO Bahagian Besut menyelaraskan jadual berbuaka puasa bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut, bagi memudahkan orang ramai menghadiri majlis berkenaan.

Setiusaha Eksekutif UMNO Bahagian, Salleh Abd Latif berkata, ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA mendahului senarai apabila beliau mengadakan majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, dekat Jertih hari ini (22 Julai).

Katanya, sempena majlis itu juga Idris akan menyampaikan sumbangan zakat peribadi kepada 100 penerima terdiri daripada golongan fakir miskin yang dipilih oleh UMNO Cawangan masing-masing.

Menurutnya, selepas Idris ia disusuli oleh ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang akan mengadakan majlis serupa pada 23 Julai bertempat di Dewan Penyelaras UMNO DUN Hulu Besut di Kampung Cegar Batang, Pasir Akar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, akan mengadakan majlis berbuka pada 24 Julai bertempat di kediaman beliau di Kuala Besut.

Tidak ketinggalan ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof juga akan mengadakan majlis berbuka pada 25 Julai yang akan diadakan di Pejabat Penyelaras DUN Kota Putera.

Selain itu,Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut menutup tirai majlis berbuka puasa pemimpin UMNO Bahagian itu, apabila beliau mengadakan majlis pada 28 Julai 2012 yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, dekat Jertih.

Sehubungan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan Parlimen Besut dijemput hadir bagi memeriahkan majlis berbuka bersama pemimpin selain dapat mengeratkan lagi tali silatulrahim sesama Islam sempena Ramadan.

Rakyat Terengganu dapat Dana Raya


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Golongan berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima Dana Raya daripada kerajaan negeri pada minggu depan.

Pemberian dana tersebut merupakan program tahunan kerajaan negeri bagi membantu golongan berkenaan membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian anak-anak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.

Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini akan mula diagih kepada keluarga yang layak mulai minggu kedua bulan Ramadan. Pada masa ini kerajaan negeri sedang mengatur bayaran bagi golongan belia yang layak menerima bantuan melalui Program Dana Bakti Remaja,” katanya kepada wartawan petang semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemberian tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kita harap rakyat, khususnya mereka yang menerima bantuan tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah banyak berjasa kepada mereka,” katanya.




21 July 2012

MENTERI BESAR DAN ISTERI MENINJAU SERTA MEMBELI JUADAH BERBUKA PUASA DI BAZAR RAMADHAN DI SHAHBANDAR

GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA







40 Pesara Perkhidmatan Awam dari Terengganu hadir majlis pelancaran Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia


Ahli PPKM Terengganu yang menghadiri majlis pelancaran KUPEKMAS di Kuala Lumpur

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 40 pesara yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Terengganu dipilih menghadiri pelancaran Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) di Kuala Lumpur semalam.

Rombongan ditetuai Setiausaha Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) diketuai Setiausahanya, Haji Halim Mohamad berlepas ke ibu negara dengan sebuah bas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu.

Pelancaran Kelab berkenaan dilakukan YAB Perdana Menteri,Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak dalam satu majlis yang agak meriah yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Haji Halim berkata, peserta Terengganu yang turut diundang pada pelancaran itu amat berbangga dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk menghadiri majlis yang bersejarah kepada pesara kerajaan negeri ini.

Katanya, PPKM Cawangan Terengganu juga menghargai Kerajaan Negeri Terengganu kerana membantu menyediakan sebuah bas khas bagi memudahkan ahli persatuan menghadiri majlis pelancaran kelab berkenaan.

Menurutnya, ahli persatuan pesara kerajaan kini mendapat pengiktirafan kerajaan apabila tertubuhnya kelab yang disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, paling membanggakan pesara ialah apabila Perdana Menteri sendiri mengumumkan Hari Pesara yang ditetapkan pada 19 Julai setiap tahun sebagai menghargai sumbangan pesara kepada pembangunan negara ketika berkhidmat sebagai penjawat awam.

Pada majlis itu juga pesara turut melafazkan ikhrar taat setia tidak berbelah bagi kepafa kepemimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya memerintah negara dengan baik
sehingga sekarang. t">

Ahli Parlimen Besut melawat warga emas



Oleh: Mohammad Ishak 

Penghuni yang tinggal di penempatan Warga Emas Pengkalan Kubur, Tembila dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, terharu apabila mereka dikunjungi oleh seorang pemimpin kerajaan daerah ini.

Kunjungan Ahli Parlimen Besut, Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin bersama isteri ke penempatan itu menjelanf Ramadan semalam sememagnya ditungu-tunggu oleh warga emas yang tinggal di penempatan itu

Dr Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, menghabiskan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra dengan penghuni di situ sambil mendengar pelbagai cerita mengenai kehidupan mereka di penampatan yang dikendalikan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pada kesempatan itu, Dr Abdullah turut menyampaikan sumbangan hamper berupa makanan kepada semua 15 penghuni yang tinggal di situ. Penghuni yang menerima kunjungan Ahli Parlimen itu kelihatan gembira dan bersemangat apabila dimaklumkan seorang pemimpin kerajaan akan melakukan lawatan dan menemui penghuni.

Dr Abdullah dan isteri juga turut terharu apabila berpeluang mendengar cerita mengenai kehidupan keluarga emas berkenaan kerana ada antara mereka mempunyai pelbagai kenangan manis dan sejarah hidup masing-masing.

Sambil menasihat penghuni terbabit bersabar menempuh dugaan hidup Dr Abdullah berharap ada pihak tanpil memberi sokongan dan bantuan kepada pengurusan penempatan itu yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan.

Katanya, sumbangan diberkan dapat membantu mengankan beban hidup warga emas terbabit terutama sepanjang bulan Ramadan ini kerana mereka amat memerlukan apa sahaja bentuk bantuan terutama makanan dan pakaian.

Pas derhaka titah sultan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin dan penyokong Pas tidak menghormati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahukan isu dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan dengan segera kerana ia memecah-belah umat Islam di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pemimpin dan ahli Pas yang bertanggungjawab memulakan perkara itu dan mereka sepatutnya yang menghentikan kegiatan tersebut.

“Selagi ahli Pas sembahyang Jumaat di tempat berasingan daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selagi itu isu ini tidak boleh selesai.

“Manakala pemimpin Pas pula tidak melarang ahli-ahli Pas dan penyokong mereka solat Jumaat di tempat yang tidak diwartakan oleh pihak berkuasa, jadi kegiatan ini terus berlaku di negeri ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Mizan sebelum ini supaya kegiatan dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan bagi menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat isu tersebut.

Secara tidak langsung, kata YB Ustaz Haji Muhammad Ramli pemimpin dan penyokong Pas derhaka kepada Tuanku Sultan Mizan kerana tidak mengambil berat teguran baginda.




MB kunjung tempat masak bubur lambuk

Oleh Kamaruddin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa untuk melihat pekerja memasak bubur lambuk di Masjid Abidin, kira-kira jam 11 tengahari tadi.

Beliau yang ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, turut mengacau bubur lambuk yang kebetulan sedang dimasak di atas dapur, di tempat letak kereta masjid berkenaan.


Sementera itu, pada jam 3.30 petang Menteri Besar bersama isteri mengagihkan bubur lambuk berkenaan kepada orang ramai di perkarangan masjid tersebut.

Sebanyak 10 kawah bubur lambuk akan dimasak di masjid itu setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini untuk diagih kepada orang ramai.





Pihak pengurusan masjid menyediakan kira-kira 2,500 bungkus bubur lambuk setiap hari untuk diagih-agihkan kepada orang ramai sekitar bandar ini secara percuma.

Program mengagihkan bubur lambuk kepada umat Islam pada bulan Ramadan dimulakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.


20 July 2012

UMT beri komitmen penyelidikan di Antartika

Oleh; Esah Abdullah

Seramai tiga orang penyelidik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyertai akspedisi penyelidikan di Antartika (2003-2009) untuk menjalankan kajian dalam keadaan ‘extreme’ bersama saintis daripada Australia, Canada, Chile, New Zealand, Ecuador dan Afrika Selatan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, hasil kajian tersebut mereka berhasil menemukan ionosphere GPS-TEC, faktor penghad dan kesan suhu terhadap kesediaan nutrient di dalam tanah.

“Penemuan ini telah membuka peluang bagi saitis meramalkan kesan perubahan iklim global terhadap ekosistem mikro-organisma di kawasan Tropika,” katanya di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di UMT semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran itu. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, kekuatan para penyelidik dalam bidang oseanografi dan sains marin yang berpusat di Oseanografi dan Sekitaran (INOS) telah diiktiraf sebagai Poteantial Hi-CEO oleh kerajaan tahun lalu.

Selain itu, kekuatan UMT dalam bidang sains marin turut diperakui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara MOSTI dan UMT bagi menubuhkan Institut Oseanografi Kebangsaan.

“UMT dengan kekuatan yang ada sedia membantu penubuhan institut itu dan penyelidikan di Antartika boleh dijadikan salah satu projek kemegahan dalam konsep institut yang bakal ditubuhkan,” katanya.