Oleh: Kamarudin Mat Akib
Golongan berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima Dana Raya daripada kerajaan negeri pada minggu depan.
Pemberian dana tersebut merupakan program tahunan kerajaan negeri bagi membantu golongan berkenaan membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian anak-anak.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.
Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.
Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut.
“Bantuan ini akan mula diagih kepada keluarga yang layak mulai minggu kedua bulan Ramadan. Pada masa ini kerajaan negeri sedang mengatur bayaran bagi golongan belia yang layak menerima bantuan melalui Program Dana Bakti Remaja,” katanya kepada wartawan petang semalam.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemberian tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kita harap rakyat, khususnya mereka yang menerima bantuan tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah banyak berjasa kepada mereka,” katanya.