Halaman

26 July 2012

TBS sedia dana tanpa had

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan dana tanpa had di bawah Tabung Bantuan Segera (TBS) untuk membantu anggota masyarakat ketika berhadapan saat kecemasan.

Timbalan Pengarah 1 JKM negeri, Hajah Che Mah Darus berkata, TBS mula diperkenalkan bulan lepas dengan bantuan RM300 bagi setiap kes.

“Bantuan yang disediakan ini lebih tertumpu kepada kes-kes kematian, bencana alam dan seumpamanya yang memerlukan bantuan segera,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Katanya, isteri kematian suami yang mempunyai ramai tanggungan juga diberi keutamaan bagi membantu meringankan beban sebelum menerima apa-apa pampasan lain.

Walaupun bantuan ini nampak mudah dan cepat tapi pihaknya tidak sewenang-wenangnya meluluskan setiap yang datang memohon sebaliknya mengenalpasti mereka yang benar-benar layak dibantu.

Beliau tidak menolak, ada individu mengambil kesempatan di atas keperihatinan jabatan membantu golongan susah dan membuat pelbagai helah untuk mendapatkan wang tunai.

“Bantuan tunai hanya diberi kepada mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan, bukannya saja-saja untuk berbelanja perkara yang tidak berfaedah,” katanya.