Halaman

25 July 2012

Erni belayar 52 hari kelilingi negara Asean

Oleh: Aida Abd Rahman
Keupayaan menempatkan diri sebagai wakil tunggal dari Terengganu untuk mewakili Malaysia menyertai Program Pelayaran Untuk Belia Timur Selatan Asean (SSEAYP 38) tahun lalu memberi kelebihan kepada Ernisalwani Saidi, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program pelayaran menaiki Kapal Fuji Maru dari Jepun untuk mengelilingi negara Asean sepanjang 52 hari turut disertai 380 belia dari negara Asean melibatkan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

“Pengalaman menyertai program itu bukan sahaja memupuk disiplin yang tinggi bagi menempatkan diri sebaris dengan peserta luar negara yang lain, malah kita juga perlu mempunyai ketahanan mental dan semangat yang tinggi sepanjang pelayaran sambil boleh mempelajari, mengenali adat serta budaya asing,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT) yang aktif dalam persatuan belia sejak 17 tahun lagi itu terpilih menyertai program berkenaan selepas berjaya dalam sesi temuduga dan ujian mental, fizikal, personaliti, kreativiti selain boleh berbahasa Inggeris selama tiga hari dua malam pada awal tahun lalu.

Menurut anak muda berusia 26 dari Taman Sri Seratus, Kuala Besut itu lagi, program itu banyak mematangkan diri, malah hasil perkongsian pengalaman, pertukaran idea dan perbincangan isu semasa, melibatkan persekitaran dan hal sejagat turut dibawa balik untuk dimanfaatkan dalam persatuan dan masyarakat negara sendiri.

Apa yang lebih utama katanya, hasil pertemuan dengan belia negara lain, Erni merumuskan bahawa rakyat Malaysia lebih beruntung dan bertuah kerana mempunyai kerajaan yang amat mengambil berat mengenai aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan penduduknya berbanding nasib rakyat negara lain yang kurang terbela akibat krisis ekonomi dan kuasa di negara masing-masing.

Selain itu, Erni turut menyarankan belia yang masih terumbang-ambing dan tiada hala tuju hidup, supaya menyertai persatuan belia yang ternyata mampu memberi lebih pendedahan, kematangan, ilmu pengetahuan, menambah kenalan selain memantapkan diri menerusi pelbagai taklimat, bengkel kepimpinan dan pengurusan organisasi yang dianjurkan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Erni turut meluahkan perasaan gembira kerana berpeluang meraih anugerah itu, malah berharap pengiktirafan itu mampu menaikkan semangat belia lain serta menjadi ikon kepada generasi muda untuk melakukan lebih baik demi masa depan bangsa, agama dan negeri yang tercinta.

Dengan kemenangan bagi kategori wanita itu, Erni berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan sijil, manakala hadiah yang sama bagi kategori lelaki diraih Mohd Fauzi Mat Adam, dari Kemaman .

Dia turut memuji langkah dan usaha kerajaan hari ini yang amat prihatin membela dan menyediakan saluran untuk belia mengembangkan bakat, kemahiran dan keperluan mereka sebagai pewaris dan pemimpin masa depan negara.

“Belia di Malaysia beruntung kerana kerajaan kita amat cakna dan menyedari keperluan masa kini untuk masa depan mereka. Oleh itu, sebagai membalas jasa dan melihat kesinambungan suara belia terus diambil perhatian, generasi muda harus menyokong kerajaan yang ada hari ini,” katanya.