Halaman

28 July 2012

Atlet diminta pastikan BN terus perintah Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Atlet di negeri ini diminta supaya memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana hanya BN yang mampu membela nasib mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan BN Terengganu kini muncul sebagai kuasa sukan negara dan para atlet mendapat habuan yang lumayan setiap kali mereka menang dalam pertandingan sukan sama ada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.
“Kerajaan negeri yang diperintah oleh BN sentiasa mengambil berat dan cakna kepada kebajikan atlet.

“Kita menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi memastikan kecemerlangan di bidang sukan.
“Jika atlet mahu keadaan ini beterusan, saya minta atlet sokong dan undi BN pada pilihan raya nanti, Minta emak dan ayah, keluarga dan rakan-rakan sokong dan undi calon BN,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukma yang baru saja berakhir minggu lalu.

Terengganu mucul juara Sukma buat kali keempat berturut-turut selepas menang 62 pingat emas, meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan hanya 47 emas dan tuan rumah Pahang tempat ketiga.

Kerajaan negeri menyediakan insentif berjumlah RM1.6 juta bagi habuan atlet yang berjaya memungut pingat pada temasya sukan tersebut.

Menteri Besar berkata, Kerajaan BN Terengganu bukan saja cakna kepada atlet tetapi kepada setiap orang yang berjaya melonjakkan nama negeri ini akan diberi penghargaan.

“Kerajaan BN mengambil berat semua bidang, khususnya pendidikan agar rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan,” katanya.