Halaman

28 July 2012

Ahmad Said MB yang tidak kenal erti rehat..

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bulan puasa bukan bulan untuk berehat. Bagi sesetengah orang, termasuk mereka yang berniaga, aktiviti di sepanjang Ramadan ini dihadkan di mana mereka mengambil lebih banyak masa untuk berehat.

Mereka yang bekerja pula tentunya mengambil masa cuti hujung minggu untuk berehat atau menonton televisyen di rumah.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak berlaku pada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang sememangnya terkenal dengan sikap tidak pernah jemu untuk terus menabur bakti dan membantu menyelesaikan masalah rakyat yang dihimpit kesulitan.

Jadual tugasan beliau sentiasa padat pada hari-hari biasa dan ini tidak terkecuali pada hujung minggu pada sepanjang masa.

Menjelang cuti hujung minggu pertama Ramadhan tahun ini, beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, mengetepikan keinginan untuk berehat atau bersantai bersama keluarga seperti yang dilakukan kebanyakan orang.

Sebaliknya, sepanjang hari ini, Menteri Besar dan isteri mempunyai jadual yang amat ketat di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk bertemu dan meraikan penduduk tempatan.

Bermula awal pagi, Menteri Besar akan mengadakan Program Ziarah Ramadhan di Kampung Pengkalan Cicar dan Kampung Ibai Penunjuk. Beliau dan isteri akan mengagih-agihkan bantuan kepada penduduk miskin dan Orang Kurang Upaya di kawasan tersebut.

Selepas itu, beliau akan bergegas ke Dewan Sivik Kijal, bagi menyampaikan bantuan Dana Remaja kepada kira-kira 300 belia bagi membolehkan mereka membeli-belah keperluan menyambut Hari Raya Puasa.

Menteri Besar kemudiannya akan melawat penduduk miskin di Kampung Lubuk Lesung, Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu serta menyampaikan bantuan kepada mereka.

Kira-kira jam 5 petang beliau akan menyampaikan bantuan kepada orang miskin dan anak-anak yatim di kediamannya di Kampung Telok Kalong, Kijal.

Sebelum Maghrib beliau mengadakan majlis tahlil dan berbuka puasa di kediamannya yang akan dihadiri penduduk setempat.

Sebelah malam, Menteri besar akan hadir solat Isyak dan terawih di salah sebuah masjid di DUN Kijal.

Begitulah padatnya program Menteri Besar yang sanggup mengorbankan waktu rehat dan tidak mengira penat lelah untuk mendekati rakyat pada setiap masa, termasuk pada bulan puasa.