Halaman

26 July 2012

Ahli Veteran Serikandi terharu terima kunjungan To’ Puan Norliza

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA


“Hanya ungkapan terima kasih yang mampu diucapkan kepada isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Norliza Mahmud dan semua ahli rombongan kerana sudi melawat saya yang sudah uzur ini.

“Rombongan seumpama ini mampu menghilangkan rasa sunyi kerana saya kini hanya terperap di rumah anak kerana mengalami sakit lutut dan terpaksa bertongkat untuk berjalan,” kata ahli veteran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), Hajah Kamariah Taib, 72.

Beliau antara lima ahli veteran yang dikunjungi kira-kira 15 ahli Serikandi sempena Program Ziarah Ramadan yang diadakan di beberapa kampung sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Ahli rombongan menghadiahkan pakaian raya, kurma dan biskut raya kepada ahli veteran yang dikunjungi sebagai tanda ingatan.

Seorang ahli veteran Hajah Mariam Abd Rahman, 61, berkata dia cukup terharu kerana rombongan Serikandi sudi melawatnya pada bulan Ramadan ini dan mudah-mudahan Allah memberkati segala usaha yang dijalankan.

“Walaupun ada di antara ahli veteran sudah tidak aktif untuk mengikuti mana-mana program dan mesyuarat, rombongan ini tetap menghargai kami,” katanya yang ditemui di rumahnya, di Kampung Jeram, Manir.

Seorang lagi ahli veteran dari Kampung Wakaf Tembesu To’ Puan Haja Rogayah Dato’ Yusof, berkata dia cukup terharu di atas komitmen Serikandi kerana sudi melawat ahli-ahli veteran yang uzur.

Katanya, jika mereka tidak berkunjung dan bertandang ke rumah, mungkin dia sukar untuk mengenalinya secara dekat dan beramah mesra bersama isteri wakil-wakil rakyat yang ada sekarang ini.

“Mujur sangat mereka datang, sekurang-kurangnya hilang sedikit rasa rindu saya kepada semua ahli Serikandi.

“ Apabila bersama mereka terbit rasa rindu untuk turut aktif tetapi ianya seakan msutahil untuk berbuat demikian kerana saya kini haya mampu tinggal di rumah kerana keuzuran,” katanya.