Halaman

25 July 2012

Puasa merawat sifat keras hati

Oleh; Esah Abdullah

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Justeru pensyariatan puasa dapat mendidik jiwa dan mengurangkan sifat tersebut.

Pendakwah Bebas, Dr. Zukfifli Mohamad Al-Bakri berkata, antara asas penting yang membangunkan masyarakat Islam ialah sifat kasih sayang di kalangan mereka.

“Terdapat kalangan orang kaya tidak dapat merasai dan menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai sendiri keperitan dan kesempitan hidup dan kepahitan diburu kelaparan,” katanya di Seminar Khas ‘Ramadan Bulan Transformasi Keluarga’ di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini (25 Julai).

Seminar anjuran Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JHEAT menampilkan Dr. Zulkifly Muda selaku moderator. Hadir sama Timbalan Pesusuhjaya Khidmat Pengurusan JHEAT, Encik Mohamad Daud dan Ketua Penolong Pesuruhjaya Undang-undang Keluarga Islam, Encik Ismail Abdul Ghani.

Katanya, bulan puasa adalah waktu terbaik bagi golongan yang kaya dapat mengalami perasaan orang miskin dan puasa juga adalah dorongan terbaik menimbulkan perasaan kasih sayang dan simpati di dalam jiwa.

“Mengikut sebuah hadis, syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara berlapar,” katanya.

Katanya, ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh lagi ampuh untuk menghadapai segala tribulasi kehidupan.

“Uniknya puasa dapat menyembuhkan dua penyakit iaitu rohani dan jasmani dan apa pun ibadat yang dilakukan seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah SWT,” katanya.