Halaman

27 July 2012

Duit poket RM810,400 untuk remaja DUN Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri memperuntukkan RM810,400 bagi menyediakan `duit poket’ sempena Ramadan kepada 4,052 remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang diagihkan sepanjang empat hari bermula 16 Julai lalu.

Agihan bantuan Dana Remaja kepada penduduk berusia 21 tahun ke atas dan belum berumahtangga itu disampaikan Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Haji Wan Mahyuddin berkata, pengagihan dilaksanakan menerusi lapan siri sepanjang empat hari yang berlangsung pada pagi dan petang dengan 509 penerima menjadi kumpulan terakhir mendapat dana berkenaan.

“Manfaatkanlah wang dana yang anda perolehi ini sebaik mungkin. Gunakanlah untuk perkara yang positif dan dapat mendapatkan kebaikan kepada diri sendiri.

“Saya mewakili kepimpinan negeri yang ditunjangi parti Umno dan Barisan Nasional (BN) juga menyeru remaja semua merenung kembali segala jasa bakti dan usaha kerajaan yang sentiasa membela nasib rakyat dan golongan remaja seperti saudara- saudari semua termasuk bantuan dana ini. Oleh yang demikian berilah sokongan kepada parti yang terbukti membela kebajikan kita,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM89.26 juta bagi menyediakan bantuan dana itu sepanjang tempoh empat tahun bermula 2008 lalu.

Daripada jumlah itu RM18.69 juta disediakan pada 2008 yang memberi manfaat kepada 93,478 penerima remaja, manakala RM23.15 juta (90,081 penerima) pada 2009, diikuti RM23.42 (95,252 penerima) pada 2010 dan tahun lalu RM24 juta yang melibatkan 95,219 penerima.