Halaman

19 August 2012

Jadikan Syawal bulan jalin persaudaraan - YB Kazan

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Umat Islam di negeri ini diminta menjadikan bulan Syawal sebagai bulan bagi mengukuhkan ikatan persaudaraan dengan mengamalkan tradisi ziarah menziarahi sesama umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat, berkata inilah masa yang paling sesuai untuk umat Islam memupuk perpaduan dan melupakan persengketaan mereka selama ini.

"Saya dan seisi keluarga memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua Muslimin dan Muslimat, khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

"Bagi umat Islam, pada kesempatan yang ada ini marilah kita sama-sama bersikap saling memaafkan segala kesalahan saudara kita, usah disimpan segala dendam di hati.

"Ambillah kemuliaan bulan Syawal ini untuk mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kita dan hindari diri masing-masing daripada melakukan perbuatan yang boleh melukakan hati orang lain," katanya.






Rahsia kejayaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan jangka panjang dan perancangan teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) hingga muncul juara empat kali berturut-turut temasya berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pelbagai aspek diutamakan termasuk berkaitan kebajikan atlet, komitmen tinggi seluruh ahli kontinjen dan sokongan padu pemimpin.

Katanya, sifat kerajaan negeri yang tidak `lokek’ untuk mengagihkan insentif kepada atlet setiap kali memperolehi kejayaan antara faktor atlet Terengganu mempunyai semangat juang yang tinggi bagi menggapai kejayaan.

“Kita bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 bagi setiap pingat emas, RM3,000 (perak) dan pingat gangsa RM2,000 sejak 2008 lagi.

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Menurutnya, biasiswa untuk atlet sekolah sukan turut diperkenalkan di mana mereka yang belajar di sekolah biasa layak menerima elaun bulanan RM50 manakala bagi Sekolah Sukan Bukit Nenas diberi RM60.

“Skim lain yang turut diperkenalkan adalah biasiswa atlet Sukma, bintang kecemerlangan, skim hadiah cemerlang dan skim wakil negara di mana jumlah pembayarannya bergantung kepada jenis skim,” katanya.

Sebagai rekod, Terengganu muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 ketika menjadi tuan rumah temasya tersebut, sekali gus menamatkan dominasi Selangor yang cukup digeruni suatu ketika dahulu.

Beraksi di laman sendiri pada 2008, kontinjen Terengganu ternyata mengambil segala kelebihan untuk membolot 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Momentum itu diteruskan pada Sukma 2010 di Melaka yang menyaksikan kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara dengan pungutan 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Kontinjen Terengganu terus berada pada trek kejayaan apabila menjuarai temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.

Bagi edisi Sukma kali ini, Terengganu tampil lebih bergaya apabila membawa pulang 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, seterusnya meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan catatan 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Kejayaan merangkul 62 emas itu merupakan pencapaian terbaik Terengganu setakat ini biarpun tuan rumah Sukma ke-15, Pahang tidak mempertandingkan beberapa acara seperti kenu dan mendayung yang dianggap 'kekuatan' kontinjen Terengganu Hanelang itu.



18 August 2012

PPD Rhu Rendang anjur majlis berbuka puasa


Oleh: Amirullah Othman

Seramai 250 pemimpin-pemimpin Pemuda dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dun Rhu Rendang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa di Marang Village & Spa, kelmarin.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku, sangat teruja dengan kehadiran yang sangat baik dari Pemuda dan NGO dalam Dun RhuRendang, bagi menjayakan majlis tersebut.

Beliau turut beramah mesra dengan semua tetamu yang hadir ke program berkenaan dan berharap supaya setiap permasalahan yang timbul boleh diluahkan untuk tindakan selanjutnya.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Encik Saiful Bahri Dato’ Baharudin.KetuaPemuda UMNO Negeri Terengganu dan Jasmira Othman Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang.

Sebelum majlis berbuka puasa, para tetamu turut mengadakan tahlil bagi mengambil keberkatan bulan Ramadhan.





Usah sambut raya secara berlebihan


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya menyambut Hari Raya secara sederhana dan jangan melampaui batasan yang ditetapkan oleh agama, termasuk melakukan maksiat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata umat Islam perlu berhemah dalam melakukan apa jua perkara, termasuk meraikan hari kebesaran dalam agama dan mengelakkan pembaziran.

"Pada Hari Raya Aidilfitri, sambil kita berjalan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya, ambillah kesempatan untuk menziarahi beberapa rumah saudara-mara atau jiran tetangga.

"Dalam perjalanan pulang, kita lalui jalan lain dan ziarah juga beberapa rumah lain di sepanjang perjalanan. Ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang sepatutnya menjadi ikutan kita semua,' katanya.

Beliau berkata, sambil berseronok menyambut lebaran, jangan kita lupakan nilai-nilai positif yang telah kita kutip sepanjang bulan Ramadan lalu untuk diamalkan pada masa-masa akan datang, bagi membentuk masyarakat yang gemilang dan terbilang.

Ketua Puteri UMNO Terengganu, Puan Nordiana Shafie, turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negeri yang kita cintai ini.

"Sama-sama kita meningkatkan perpaduan di kalangan umat islam dan usah bertelingkah sesama sendiri kerana perbuatan itu merugikan kita semua. Lupakan segala sengketa lama, salam perdamaian dihulurkan buat semua," katanya.





Kerajaan negeri cakna rakyat Terengganu


Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang diiringi Pengarah APMT, Haji Roshali Taha, meluangkan masa menyampaikan dana raya kepada warga DUN Kijal di tiga tempat iaitu di Dewan Sivik Kijal seramai 1,179 penerima, di Dataran Pusat Daerah (PDM) Mengundi Seri Bandi (1370 penerima) dan di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu (443 penerima).

Menteri Besar berkata dalam ucapannya di PDM Seri Bandi, pembahagian dana raya kepada rakyat Terengganu sudah menjadi satu kemestian kerajaan negeri untuk memberi bantuan tersebut kepada rakyat bagi meringankan beban di musim perayaan.

Hal ini, jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negeri Terengganu sekarang begitu prihatin dan cakna terhadap pemasalahan rakyat.

Namun begitu katanya, masih ada segelintir rakyat yang tidak mahu bersyukur, malah masih ramai yang mempertikaikan pemberian kerajaan ini kepada rakyat.

“Sekiranya ada pihak yang tidak menerima dana ini disebabkan beberapa faktor, maka pelbagai isu dan fitnah akan dibangkitkan dan disebarkan dengan menghina pemerintahan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat Terengganu supaya bersyukur dengan pemberian yang telah diberikan selama ini dan tidak akan berpaling tadah ke mana-mana parti yang lain agar nikmat yang diperoleh sekarang akan berkekalan.

Menteri Besar turut berkesempatan dengan mencelah masanya pergi melawat Mini Zoo di Bukit Takal setelah menyampaikan dana raya di Seri Bandi untuk melihat perkembangan proses pembinaan taman rekreasi itu dan haiwan yang ditempatkan di situ.






MB berbuka puasa bersama mahasiswa Terengganu


Oleh : Amirullah Othman

Seramai 1,000 mahasiswa dari IPTA dan IPTS dalam dan luar negara hadir pada majlis berbuka puasa bersama-sama pemimpin tertinggi negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Besar Taman Tamadun Islam, kelmarin.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof; Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Y.B. Hj Muhammad Ramli Nuh, Pegawai Pembangunan Dun Wakaf Mempelam, pemimpin-pemimpin masyarakat serta pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Menteri Besar dalam ucapannya menggesa para mahasiswa Negeri Terengganu supaya komited dengan pelajaran dan jangan terbabit dengan dakyah-dakyah pembangkang yang hanya merugikan mereka.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia dan Negeri Terengganu telah memberikan pelbagai bentuk pinjaman dan biasiswa untuk kesenangan mahasiswa untuk terus menimba ilmu supaya tidak tercicir atas alasan masalah kewangan.

“Negara-negara lain tidak menyediakan kemudahan sebagaimana yang dijalankan di Malaysia pada hari ini. Haruslah rakyat Malaysia bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada pemimpin yang melaksanakan dasar-dasar kearah kecemerlangan pelajaran.

“Negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang sudah tersohor dari segi pencapaian pelajarannya. Pencapaian UPSR, PMR, SPM dan STPM yang johan peringkat negara secara berturut menunjukkan Terengganu merupakan sebuah negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan di Terengganu seperti menaiktaraf jambatan, jalanraya, prasarana-prasarana lain untuk memberikan keselesaan kepada rakyat negeri Terengganu.

Selain itu, pelabur-pelabur dari luar negara juga telah memberikan persetujuan untuk melabur di Terengganu dan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu.



Jadual rumah terbuka Aidilfitri Pemimpin Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat UMNO Bahagian Besut menyelaras majlis sambutan Aidilfitri bagi semua pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut bagi memudahkan orang ramai mengatur perjalanan ke rumah pemimpin terbabit.

Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian, Salleh Abd Latif berkata, jadual yang diselaraskan itu bertujuan sebagai panduan kepada penduduk daerah Besut dan rakyat negeri ini untuk berhari raya dan beramah mesra dengan pemimpin bahagian berkenaan.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih yang juga Ketua UMNO Bahagian, mendahului program apabila beliau dan isteri akan menganjurkan sambutan Aidilfitri pada hari raya kedua (Isnin) yang akan berlan gsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong.

Pelbagai jenis makanan dan juadah tradisional disediakan mengikut gerai yang disusun atur dan menyamai sebuah restoran untuk kemudahan pengunjung mengambil makanan sambil bersantai.

Manakala pada hari ketiga (Selasa) majlis secara serentak tetapi di kediaman masing-masing akan diadakan membabitkan tiga ADUN dan Ahli Parlimen. Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, akan mengadakan sambutan di kediaman beliau di Kampung Alur Lintang.

Manakala tiga ADUN iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar akan mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman beliau di pekan Kuala Besut.

Sementara itu, ADUN Kota Putera.Muhamad Pehimi Yusof akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Batu Tumboh manakala ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,akan mengadakan majlis serupa yang akan diadakan di Dewan Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut,Kampung Cegar Batang.

Rumah terbuka MB raya pertama


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, pada hari raya pertama.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, akan melayan para tetamu yang berkunjung ke kediaman mereka bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Rakyat jelata, termasuk dari bangsa lain dijemput datang ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini.




MB rai kakitangan berbuka puasa


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meraikan kakitangan dan keluarga pejabat Menteri Besar Terengganu pada majlis berbuka puasa di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Isteri beliau, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta anak-anak turut hadir pada majlis tersebut yang merupakan acara tahunan bagi menghargai kakitangan pejabat Menteri Besar di semua peringkat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Penyelidik Kanan, Encik Hambali Abd Latif dan Setiausaha Akhbar, Encik Rosli Zakaria, hadir sama pada majlis itu.

Menteri Besar turut menyumbangkan ‘duit raya’ kepada semua kakitangan berkenaan.





JPN garis lima langkah ke arah Terengganu Negeri Anjung Ilmu

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pendidikan negeri mengariskan lima langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mewujudkan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Pengarahnya, Encik Zakaria Hussin berkata, langkah pertama ialah membekalkan bahan sokongan pembelajaran semerta kepada setiap pelajar sasaran utama dan pelajar berpotensi bagi memperolehi semua A dalam empat peperiksaan awam.

“Kita jangka 16,000 pelajar akan terlibat di bawah program ini dengan anggaran kos RM600,000,” katanya di majlis Pelancaran Program Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Stadium Gong Badak baru-baru ini.

Katanya, jabatan juga memperuntukkan RM200,000 dengan penglibatan 1,550 untuk mengadakan akademik 201052 selama tiga hari dua malam dan program cakna peperiksaan awam dengan memasang kain rentang di semua sekolah dan tempat strategik bagi menyemarak dan kecaknaan masyarakat yang menelan belanja RM50,000.

Selain itu, jabatan akan menghimpunkan semua pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan percubaan UPSR, PMR, SPM dan STPM selama dua hari satu malam di bawah program keterbilangan bersama kepimpinan negeri.

“Satu gerakan emergensi diadakan di setiap daerah melibatkan pelajar, ibu bapa, guru, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), JPN dan kerajaan negeri bagi mencetuskan tahap kesedaran tinggi terhadap kecemerlangan pedidikan di negeri ini,” katanya.

Seterusnya beliau yakin dan komited mengekalkan keunggulan Terengganu dalam peperiksaan awam terutama UPSR yang telah mengungguli peratus tertinggi pencapaian semua A selama 11 tahun berturut-turut manakala peperiksaan lain terus menunjukkan peningkatan setiap tahun.