Halaman

18 August 2012

MB berbuka puasa bersama mahasiswa Terengganu


Oleh : Amirullah Othman

Seramai 1,000 mahasiswa dari IPTA dan IPTS dalam dan luar negara hadir pada majlis berbuka puasa bersama-sama pemimpin tertinggi negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Besar Taman Tamadun Islam, kelmarin.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof; Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Y.B. Hj Muhammad Ramli Nuh, Pegawai Pembangunan Dun Wakaf Mempelam, pemimpin-pemimpin masyarakat serta pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Menteri Besar dalam ucapannya menggesa para mahasiswa Negeri Terengganu supaya komited dengan pelajaran dan jangan terbabit dengan dakyah-dakyah pembangkang yang hanya merugikan mereka.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia dan Negeri Terengganu telah memberikan pelbagai bentuk pinjaman dan biasiswa untuk kesenangan mahasiswa untuk terus menimba ilmu supaya tidak tercicir atas alasan masalah kewangan.

“Negara-negara lain tidak menyediakan kemudahan sebagaimana yang dijalankan di Malaysia pada hari ini. Haruslah rakyat Malaysia bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada pemimpin yang melaksanakan dasar-dasar kearah kecemerlangan pelajaran.

“Negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang sudah tersohor dari segi pencapaian pelajarannya. Pencapaian UPSR, PMR, SPM dan STPM yang johan peringkat negara secara berturut menunjukkan Terengganu merupakan sebuah negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan di Terengganu seperti menaiktaraf jambatan, jalanraya, prasarana-prasarana lain untuk memberikan keselesaan kepada rakyat negeri Terengganu.

Selain itu, pelabur-pelabur dari luar negara juga telah memberikan persetujuan untuk melabur di Terengganu dan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu.