Halaman

16 August 2012

Rumah baru penyeri hari raya

Oleh; Esah Abdullah

Setelah 22 tahun tinggal menyewa, seorang pegawal keselamatan tidak menduga tahun ini dapat menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri di rumah baru ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri.



Lebih mengujakan kediaman baru ini sudah dilengkapi perabot seperti sofa, almari pakaian, katil, tilam beserta kabinet dapur.

“Tiada kata-kata yang mampu diluahkan hanya bersykur kehadrat Allah SWT dan terima kasih kepada wakil rakyat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang memilih saya sebagai penghuni ,” kata Encik Muda Mohamad, 57.

Tinggal bersama isteri Puan Zaleha Jusoh, 37, beserta lima anak berusia 22 hingga 14 tahun, terasa sangat teruja menyambut Aidilfitri tahun ini di rumah baru dan suasana baru.

Kegembiraan itu dikongsi bersama Encik Mohd Safri Abdullah, 47 dan isteri Puan Zanik Salim, 51 beserta lima anak berusia 12 hingga 20 tahun.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kini tidak bekerja kerana uzur setelah terjatuh dari lori serta mengidap penyakit dan bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk pelajaran anak-anak.

“Sebelum ini tinggal menyewa di Kampung Gong Tengah Bukit Bayas dalam keadaan serba kekurangan tapi hari ini telah dianugerahkan sebuah rumah yang selesa untuk berteduh kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan hamper raya oleh Adun Tepoh kawasan perumahan Affin Islamik Bank/Maidam di Kampung Padang Nanas, Tepoh petang semalam.

“Saya bersyukur sangat kerana terpilih mendiami rumah ini yang selesa,” kata Puan Asmah Mamat, 48 dan suami Mokhtar Mohd Nor beserta lapan orang anak dan tiga masih bersekolah.

Beliau yang berasal dari Kampung Sepetir Redang sebelum ini membina rumah di atas tanah milik ayahnya, dengan keluasan tanah yang tidak seberapa dan serba sedikit menimbul masalah kerana mempunyai 10 orang adik beradik.

“Terharu sangat dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan negeri terutama wakil rakyat YB Haji Muhamad Ramli Noh yang perihatin dengan masalah rakyat seperti kami,” katanya.

Majlis penyerahan kunci rumah telah disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot pada 26 Julai lalu.

Projek perumahan 40 unit bernilai kira-kira RM2 juta menerusi kerjasama Kerajaan Terengganu dengan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).