Seramai 72,425 orang pelajar di seluruh negeri bakal menduduki empat peperiksaan awam tahun ini yang bermula bulan depan.
Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong berkata, jumlah itu merangkumi empat peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil TInggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Seramai 23,325 calon akan mula menduduki UPSR pada 11 hingga 13 September depan iaitu 25 hari dari sekarang,” katanya di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR,PMR, SPM, STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Sukan Gong Badak.
Pelancaran program itu telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya, peperiksaan PMR pula akan bermula pada 9 hingga 16 Oktober membabitkan 23,025 calon yang hanya tinggal 53 hari lagi.
Manakala peperiksaan SPM bermula 5 November hingga 6 Disember membabitkan 22,710 calon dan STPM pada 19 November hingga 13 Disember dengan 3,365 calon dari seluruh negeri.
“Marilah kita mengajar diri kita dan generasi kita membudayakan ungkapan terima kasih kepada orang yang memberi dan bersyukur kehadrat Allah SWT serta mendoakan yang terbaik kepada anak-anak kita,” katanya.
Katanya, kerajaan membelanjakan puluhan juta setahun tujuan pembangunan pendidikan bagi merealisasikan pencapaian 201052 bagi menobatkan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.