Halaman

13 August 2012

Pas agih tanah kepada syarikat kroni

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Banyak tanah di kawasan bandar Kuala Terengganu yang bernilai tinggi diagihkan kepada syarikat-syarikat kroni pemimpin Pas ketika parti itu memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemimpin Pas berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi dalam mengagih-agihkan tanah di Terengganu sepanjang pemerintahan parti tersebut menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian yang besar.

“Banyak kawasan tanah di bandar Kuala Terengganu yang mempunyai nilai komersil tinggi dan boleh dibangunkan dengan macam-macam projek, kita (Kerajaan Barisan Nasional (BN) simpan bagi kegunaan masa depan.

“Bagaimanapun, tanah-tanah tersebut telah diagih-agihkan kepada kroni-kroni pemimpin Pas yang berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Isu tanah menjadi topik hangat pada persidangan DUN kali ini apabila pihak pembangkang cuba memutar-belitkan isu berkenaan seolah-olah menampakkan kesalahan Kerajaan BN.

Beliau berkata, keadaan itu amat jauh berbeza pada zaman pemerintahan BN yang sangat telus dalam soal pembahagian tanah kepada rakyat.

“Kerajaan BN membahagikan lot-lot tapak rumah dan pertanian kepada semua rakyat yang layak. Ada juga beberapa wakil rakyat dan Exco yang diberi tanah (semasa pemerintahan BN) kerana mereka layak mendapat tanah,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan BN tidak menyorok pembahagian tanah kepada wakil rakyat, tetapi Pas tidak berbuat demikian, sebaliknya berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi.

Katanya, syarikat dan koperasi Pas diberi tanah yang luas dan tanah yang mempunyai nilai komersil tinggi di kawasan bandar.