Halaman

15 August 2012

Anak yatim diminta ubah nasib keluarga

Oleh: Suriati Ali

Anak yatim di Terengganu perlu bangkit dalam semua aspek terutama membabitkan pelajaran bertujuan mengelak mewarisi kemiskinan keluarga.



Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda, berkata pelajaran cukup penting bagi setiap pelajar, jika cemerlang dalam pelajaran, ia dapat membantu memperoleh kerjaya yang disegani.



"Anak-anak yang tinggal di Rumah Anak Yatim Darul Falah juga diingatkan melaksanakan perkara sama supaya kita mampu mengubah kehidupan asal kepada yang lebih selesa.

“Seboleh-bolehnya jangan fikir masalah atau bebanan kerana semua itu adalah tanggungjawab pelbagai pihak terutama kerajaan,” katanya juga Ahli Lembaga Pengarah Husa Network Sdn Bhd.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Manisfm Bersama Anak-anak Yatim di Tanjung Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.



Kira-kira 30 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong hadir pada majlis yang turut diselitkan dengan persembahan amal oleh penyanyi tempatan Wan Mohd Izuan Wan Omar.



Dato’ Wan Ahamad turut memberitahu gunakan segala kemudahan yang disalurkan kerajaan dan rumah darul falah seperti bantuan kelengkapan pelajaran, duit saku, kelas tuisyen dan sebagainya.



Manis fm yang menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ bijak memikat hati pendengar melalui persembahan hebahan dan muzik yang menarik sepanjang 24 jam bersiaran setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).

Radio itu bukan saja menyiarkan lagu pilihan pendengar, malah setia melaporkan berita terkini serta pelbagai program menarik berkaitan negeri ini serta Kelantan dan Pahang.