Halaman

15 August 2012

55 TAHUN MENERAJUI PEMBINAAN TAMADUN BANGSA



Dalam beberapa hari lagi, sekali lagi sejarah ulung negara bakal dicipta. Ulangtahun kemerdekaan ke-55 bakal disambut pada kali ini, kemerdekaan yang memberikan pelbagai kenangan dan harapan kepada kita semua.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama bersyukur di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini dengan penuh rasa keinsafan dan sewajarnyalah kita memperkuatkan iltizam kita untuk menjadi warga yang menyumbang kepada kebaikan demi martabat agama, kemajuan bangsa dan kemakmuran negara.

Sebagai warga yang mewarisi kemerdekaan negara, kita semua hendaklah sentiasa tersemat di hati masing-masing akan tanggungjawab kita yang perlu diutamakan, iaitu untuk memastikan minda yang merdeka benar-benar tercapai. Minda yang jahil, dangkal dan cetek sejarah bangsanya akan mudah goyah.

Dengan pemikiran yang jumud dan rapuh, pintu penjajahan akan kembali terbuka akibat kealpaan kita tentang sejarah negara bangsa. Slogan-slogan kemerdekaan yang dilaungkan saban tahun menjelang kemerdekaan hanyalah retorik, jika kita sendiri yang tidak mahu menghayati sejarah ketamadunan bangsa di bumi berdaulat ini.

Apakah kerana kemakmuran yang dikecapi negara hari ini menyebabkan ada yang merindui zaman kezaliman komunis berulang kembali? Nikmat kemerdekaan ini perlu dimanfaat untuk menjadikan setiap detik adalah masa yang berkualiti.

Cuba bertanya kepada diri kita sendiri, mengapa kita dijajah pada 1511 setelah nenek moyang kita telah berjaya mewujudkan tamadun Melayu Melaka yang menguasai perdagangan laut dunia.

Antara bait-bait sajak Tun Dr. Mahathir yang harus kita semua renung;

“Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silapnya? sehingga bangsa ku berasa kecil dan rendah diri.
Apakah angkara penjajah lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam membina empayar.”

Setinggi mana ilmu yang dimiliki hasil dari kemewahan negara, tidak ada apa maknanya jika kita sendiri tidak meletakkan nilai pada erti kemerdekaan. Kemerdekaan bermakna ialah bangsa kita perlu mempunyai maruah dan jati diri yang terus dipertahankan. Jika selama ini di zaman penjajahan’ nenek moyang kita di samping berjuang bermatian-matian untuk kemerdekaan, masih dapat mengekal adab budi dan tutur bicara, maka janganlah pula dengan kemewahan hasil kemerdekaan kita pula dengan begitu mudah melupainya.

Semoga kemerdekaan negara kita yang ke-55 pada tahun ini membuka dimensi pemikiran kita yang baru untuk membaca setiap kejadian dengan mata hati dalam memahami yang tersurat dan mendalami yang tersirat.

Ingatlah, antara ciri-ciri orang-orang yang beriman itu ialah menepati janji. Salam 1Malaysia. 55 Tahun Janji Ditepati.