Halaman

14 August 2012

6,000 pelajar Terengganu ke IPTA tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

Satu transformasi pendidikan hebat sedang berlaku di negeri ini apabila 6,000 pelajar berjaya menempatkan diri ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara bagi program pengajian peringkat ijazah tahun ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan yang mendadak dan di luar jangkaan.

“Mereka ini akan memulakan pendaftaran masuk ke IPTA dalam negeri pada September ini,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini (14 Ogos).

Katanya, tahun lalu jumlah pelajar yang berjaya ke IPTA sekitar 4,000 orang sahaja tetapi tahun ini peningkatannya begitu mendadak.

“Memandangkan mereka akan mula mendaftar masuk pada bulan depan, kita akan mengadakan majlis pengagihan wang pendahuluan ke IPTA sebanyak RM1,000 seorang selepas hari raya nanti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM6 juta bagi tujuan berkenaan dan termasuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara turut menerima pengagihan itu.

Menurutnya, kerajaan amat berbangga dengan kecemerlangan anak-anak tempatan dan berharap semua pelajar lepasan SPM di negeri ini dapat masuk ke universiti.