Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Ketika pendapatan 70 pengayuh beca di sekitar Kuala Terengganu yang tidak menentu pada bulan puasa, selain kudrat yang kian terbatas, sumbangan duit raya daripada kerajaan negeri mampu mengubat duka serta memberi keceriaan bagi meraikan sambutan Aidilfitri tiga hari lagi.
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Pengayuh beca sekitar Kuala Terengganu bersama Menteri Besar selepas mendapat duit raya.
Mereka yang kebanyakannya warga emas berusia 55 hingga 70 tahun menerima wang raya RM300 seorang yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.
Seorang pengayuh beca, Abdullah Mamat, 56, dari Kampung Tanjung Paya, berkata dia amat gembira kerana kerajaan negeri terus prihatin untuk menyalurkan sumbangan itu buat kali keempat sejak 2009 lalu.
“Alhamdulilah, dengan duit raya RM300 ini dapat saya ringankan beban dan menampung perbelanjaan bagi menyiapkan kelengkapan hari raya.
“Pendapatan sebagai pengayuh beca juga tidak menentu, jika hari pelancong dan penumpang ramai bolehlah pendapatan lebih,” katanya yang kreatif menghias becanya sehingga menjadi tumpuan ramai termasuk pernah dinaiki pemimpin negeri serta selebriti tempatan.
Sementara Abdullah Hasan, 73, dari Kampung Gong Pak Maseh, berkata dia pertama kali menerima sumbangan duit raya berkenaan dan berhasrat untuk membelanjakan bagi menyiapkan kelengkapan hari raya dengan dibantu isteri, Khatijah Muda, 72.
“Pak cik belum pernah menerima duit ini, mungkin sebab sudah lama tidak mengayuh beca kerana uzur dan tangan sakit sejak bebarapa tahun lalu.
“Walaupun kini pak cik dan isteri dibantu anak-anak seramai enam orang yang sudah bekerja, pak cik tetap menghargai wang sumbangan kerajaan ini kerana dapat menampung perbelanjaan untuk berhari raya bersama keluarga nanti,” katanya.
Kegembiraan itu turut dikongsi Abdul Wahab Abd Rahman, 66, dari Kampung Sungai Derhaka, mahu menggunakan wang sumbangan kerajaan itu untuk berbelanja bersama isteri dan anak-anak pada saat-saat akhir sebelum ketibaan hari raya.
“Duit raya ini memang amat bermakna dapat tampung perbelanjaan memandangkan pendapatan kayuh beca tidak seberapa. Kadang-kadang hanya RM10 hingga RM15 sehari dan ada kala langsung tiada penumpang,” katanya.
Bagi Mohd Amin Mohamad, 73, Kampung Panji Alam, wang sumbangan itu mahu digunakan untuk membeli bateri bagi kegunaan becanya yang perlu ditukar baru.
“Selain bantuan ini, saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 setiap bulan. Alhamdulilah sebab kerajaan prihatin dengan nasib golongan seperti kami yang tidak berkemampuan,” katanya yang sudah 13 tahun mengayuh beca selepas membeli kenderaan terpakai itu dengan kadar harga RM150.