Halaman

17 August 2012

RM1.6 juta bonus atlet


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sukan olahraga mendapat insentif terbanyak berjumlah RM194,000 daripada kerajaan negeri, hasil kemenangan atlet mengutip pelbagai pingat pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang baru-baru ini.

Kerajaan Terengganu memberi ganjaran berupa wang tunai RM1.6 juta kepada atlet dan persatuan sukan yang telah berjaya mengharumkan nama negeri ini dan mengekalkannya sebagai juara Sukma buat kali keempat berturut-turut.

Manakala Persatuan Lumba Basikal dan atletnya menerima ganjaran berjumlah RM169,000.

Atlet dan Persatuan Angkat Berat menerima RM92,500 manakala Ekuestrian RM43,000.

Turut menerima habuan itu ialah atlet dan Persatuan Gimnastik RM48,000 dan Golf RM16,000. Pasukan hoki lelaki dan Persatuan Hoki Lelaki menerima RM120,000.

Kesungguhan mereka mempamerkan aksi yang terbaik pada kejohanan itu membolehkan Terengganu terus kekal sebagai kuasa sukan negara dengan mengekalkan kedudukan sebagai juara Sukma buat kali keempat berturut-turut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyampaikan ‘durian runtuh’ tersebut kepada atlet sambil meraikan mereka pada majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Atlet yang memenangi pingat emas menerima wang tunai RM5,000 bagi setiap pingat yang dimenangi manakala perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Atlet memanah, Nurul Iryani muncul atlet paling banyak menerima insentif dengan jumlah RM25,000 dan diikuti peserta angkat berat, Abd Mubin Rahim yang menerima RM23,500.

Manakala atlet lumba basikal, Zahraa Anuawar pula menerima insentif wang yang berjumlah RM20,000.

Secara keseluruhan atlet olahraga menerima paling banyak insentif yang berjumlah RM194,000 dan diiikuti memanah (RM119,000) serta lumba basikal (RM169,000).

Walaupun bermula agak perlahan pada peringkat awal temasya sukan terulung di Malaysia itu, Terengganu bangkit pada peringkat pertengahan dan akhirnya muncul juara Sukma ke-15 selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Kehebatan Terengganu begitu terserlah apabila meninggalkan jauh percabar terdekat Selangor yang hanya mampu meraih 47 emas.