Halaman

12 August 2012

Baju raya RM10,000 untuk anak Orang Asli

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM10,000 bagi menyediakan baju raya kepada anak-anak Orang Asli sempena ketibaan lebaran tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata program tahun ketiga anjuran Maidam itu bertujuan membangkitkan kecerian dan membantu golongan tidak berkemampuan khususnya saudara kita dan Orang Asli di seluruh Terengganu bagi meraikan hari raya tidak lama lagi.

“Pada kali ini kita meraikan 40 anak Orang asli dari Sungai Berua (Hulu Terengganu) dengan diiringi ibu bapa masing-masing di mana mereka berpeluang memilih dan mencuba sendiri baju raya masing-masing.
“Ini merupakan program kedua dengan peruntukan kira-kira RM6,000 bagi menjayakan program ini. Program pertama kita laksanakan kepada anak Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman dengan perbelanjaan RM4,000. Jadi kedua-duanya melibatkan perbelanjaan kira-kira RM10,000,” katanya di sidang media selepas Program Pengagihan Pakaian Raya Anak-anak saudara Kita (Masyarakat Orang Asli, Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu di Saleem Aziz Textiles, Gong Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.

Haji Wan Harujan berkata, Maidam berhasrat untuk meneruskan program itu pada tahun depan bagi memastikan nasib golongan itu sentiasa terbela, tidak terpinggir serta bersama-sama menyambut lebaran dengan meriah.

Selain itu, menurut Haji Wan Harujan, Maidam turut mengagihkan RM14 juta bantuan zakat kepada 32,000 golongan miskin di seluruh Terengganu yang selesai diagihkan sebelum Ramadan lagi.

“Kita percaya mereka yang menerima bantuan zakat ini sudahpun membelanjakan wang yang diterima itu untuk membuat persiapan sempena hari raya ini.

“Manakala untuk golongan mualaf (saudara kita), Maidam sudah mengadakan program khas majlis berbuka puasa yang dilaksanakan baru-baru ini. Hari ini kita memberi tumpuan kepada Orang Asli yang melibatkan tiga perkampungan masing-masing di Kuala Sayap (Besut), Sungai Berua (Hulu Terengganu) dan Sungai Pergam (Kemaman)," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Berua, Encik Ibrahim Awang, berkata dia mewakili penduduk kampung berkenaan amat berbesar hati dan berterima kasih dengan kesanggupan pihak Maidam yang membawa anak Orang Asli dengan ditemani beberapa keluarga untuk memilih pakaian sendiri untuk dipakai sempena hari raya nanti.