Halaman

13 August 2012

Dua rang undang-undang diluluskan dalam sidang DUN.

Oleh; Esah Abdullah

Sidang Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Yang Kedua Penggal Persidangan Yang Kelima hari ini meluluskan dua rang undang-undang iaitu Enakmen Mineral (Terengganu) (Pindaan) 2012 dan Enakmen Perbekalan Tambahan 2012.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengemukakan cadangan bagi meminda rang undang-undang bernama suatu Enakmen bagi meminda Enakmen Mineral (Terengganu) 2012.

Rang Undang-undang itu bertujuan meminda seksyen 82 (1) (a ) dan seksyen 129 (1) enakmen mineral (Terengganu) 2012 supaya memegang lesen tuan punya dikehendaki mencarum kepada Kumpulan Wang Pemulihan Bersama.

Cadangan disokong oleh Adun Tepoh YB Haji Muhamad Ramli Nuh dan telah dibaca kali pertama dan kedua, Setelah tiada ahli dewan berucap mengenai perkara berkaitan undian dijalankan secara mengangkat tangan oleh ahli dewan dan mendapat sokongan suara terbanyak.

Sidang DUN juga membuat ketetapan bersetuju meluluskan tambahan peruntukan yang pertama daripada Kumpulan Wang Pembangunan untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2012.

Usul berkenaan telah dikemukakan oleh YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menurut Seksyen Kecil (3) kepada Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966.

Ia membawa maksud P.02 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri berjumlah RM155.2 juta dan P.19 Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri berjumlah RM18 juta.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, sidang kali ini menerima 33 soalan bertulis dan 26 soalan lisan daripada ahli-ahli YB, satu usul dan dua enakmen.