Kerajaan negeri memperuntukan RM663,000 untuk menyediakan bahan-bahan berbentuk digital iaitu cakera padat untuk disimpan ke dalam e-Book yang mengandungi semua soalan-soalan yang telah disemak oleh guru-guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) di pejabat pelajaran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata, setiap peperiksaan membabitkan kos antara RM100,000 hingga RM200,000.
“Untuk merealisasikan program ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta bagi membolehkan jabatan pelajaran melaksanakan pelbagai program intervensi menjelang peperiksaan,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 20 10 5 2 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini (14 Ogos).
“Program gerakan merealisasikan 201052 merupakan antara usaha kerajaan ke arah mengekalkan kejuaraan tahun ke 12, pencapaian UPSR dimana peperiksaan penting itu hanya tinggal 28 hari lagi,” katanya.
Katanya, jabatan juga akan mengadakan Akademik 20 10 5 2 selama tiga hari dua malam untuk sasaran strait A dan pengedaran kain rentang untuk memberi motivasi dan kesedaran masyarakat agar mengambil bahagian untuk kecemerlangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan.
Selain itu, program keterbilangan bersama pemimpin melibatkan semua Exco kerajaan negeri khusus untuk pelajar yang mendapat strait A dalam peperiksaan percubaan PMR, SPM dan STPM akan terbabit dalam program dua hari satu malam itu.
“Satu lagi program ‘gerakan kecemasan’ melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan mengadakan solat hajat serentak dan juga khutbah Jumaat sebagai usaha terakhir untuk anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.
Katanya, melihatkan komitmen padu yang ditunjukan jabatan, guru, ibu bapa, PIBG dan pelajar , yakin mampu mengekalkan kecemerlangan tahun ini.