Halaman

17 August 2012

PERKIM Besut anjur majlis berbuka puasa



Oleh: Mohammad Ishak 

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Besut menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan ahli dan pemimpin komuniti di daerah itu sempena Ramadan tahun ini.

Majlis yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bukit Keluang,Besut, turut dihadiri Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, jawatankuasa PERKIM Daerah dan keluarga serta pemimpin masyarakat.

Yang Dipertuanya, Anuar Hassan berkata, pihaknya menyusun pelbagai program sepanjang tahun ini dengan tumpuan diberikan kepada kegiatan keagamaan dan sosial kepada ahli pertubuhan itu.

Katanya, Perkim Besut yang kini mempunyai keahlian 800 orang sentiasa aktif menganjurkan aktiviti untuk saudara baru supaya mereka tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan semasa.

Anuar berkata, ada juga dikalangan ahlinya yang mempunyai kebolehan dalam membaca al-Quran dan pernah menjadi wakil negeri ke tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Menurutnya, usaha kini diberikan kepada ahli untuk menyertai aktiviti bersama komuniti supaya mereka mendapat pendedahan mengenai kehidupan bersama masyarakat.

Katanya, selain itu Perkim juga tidak mengabaikan kehidupan masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kuala Sayap,Hulu Besut, yang juga menjadi saudara baru.