Halaman

17 August 2012

Bomba periksa 127 premis

Oleh: Suriati Ali

Sebanyak 127 premis tumpuan awam termasuk hotel dan pasar raya di negeri ini diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri sepanjang musim perayaan ini.

Timbalan Pengarahnya, Penguasa Kanan 1 Md. Ridzuan Hassan berkata, langkah itu bertujuan memastikan sistem keselamatan kebakaran dan peraturan dipatuhi semua premis terbabit.

Menurutnya, kes kebakaran terutama membabitkan kediaman meningkat kira-kira 10 peratus pada musim perayaan yang kebanyakannya berpunca daripada kelalaian manusia.

Katanya, bagaimanapun faktor seperti pendawaian elektrik, permainan mercun serta penggunaan barangan elektrik juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini jika tidak diawasi sebaiknya.

''Sejak awal Ramadan sehingga semalam, 15 kes kebakaran membabitkan kediaman telah dilaporkan berlaku," katanya di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana api merebak begitu cepat dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Md. Ridzuan berkata, sempena Ramadan dan perayaan ini, jabatan juga menubuhkan pasukan Unit Peronda Bomba untuk membuat pemantauan keselamatan di lebuh raya dan jalan persekutuan serta jalan negeri.