Halaman

14 August 2012

597 pelajar ke IPTA dari Besut terima Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP)


Dr Abdullah menyampaikan cek WPP kepada pelajar ke IPTA

Oleh: Mohammad Ishak

Kesulitan pelajar negeri ini untuk mendapatkan sumber kewangan bagi persediaan masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukanlah sesuatu yang sukar sehingga pelajar tidak dapat menyambung pelajaran ke pusat pendidikan yang dipilih.

Ini kerana pelbagai kemudahan pinjaman dan bantuan disediakan kerajaan bagi membolehkan mereeka menyambung pelajaran masing-masing.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetap menyalurkan bantuan persediaan kepada pelajar yang ditawarkan melanjutkan pelajaran ke institute terbabit.

Seramai 597 pelajar dari daerah Besut adalah antara mereka yang beruntung kerana mendapat tawaran menerusi Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang disalurkan kepada mereka yang ingin memasuki IPTA tahun ini.

Satu majlis penyerahan waran bernilai RM895,500 kepada pelajar terbabit dilakukan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut di Dewan Ehsan Umno Bahagian Besut, semalam.

Penolong Pengurus PTPTN Cawangan Terengganu, Khatijah Wahab yang hadir sama pada majlis penyerahan itu berkata, pada sesi pengajian tahun ini 3,029 pelajar di Terengganu ditawarkan waran WPP terbabit.

Katanya, bagi kemasukkan ijazah sesi September 2012 seramai 44,499 pelajar dari seluruh Negara ditawarkan WPP membabitkan peruntukkan RM66.7 juta.

Manakala pada 2011 seramai 583,634 pelajar menerima kemudahan sama membabitkan kos RM856.9 juta.

Abdullah berharap, pelajar yang menerima WPP dapat berjimat dan berbelanja untuk tujuan yang betul bagi faedah penndidikan.

Beliau berkata, pelajar dan ibu bapa sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan seumpama itu untuk membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke IPTA di negara ini.