Anak-anak yatim antara insan paling istimewa setiap kali menjelang Ramadan berikutan pelbagai pihak tampil membantu dan memberi sokongan.
Agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sering kali membantu golongan itu dengan memberi sumbangan duit dan kelengkapan raya seperti pakaian dan kasut.
Tidak ketinggalan menjemput anak-anak yatim berbuka puasa di mana-mana restoran atau hotel dengan meraikannya setaraf tetamu kehormat.
Pihak itu berbuat demikian kerana mengetahui ganjaran pahala daripada Allah SWT begitu besar kepada orang-orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim.
Penyelia Rumah Anak Yatim Darul Falah, Encik Zainal Abidin Abd Majid, berkata pihaknya mengakui setiap kali menjelang Ramadan, pelbagai pihak tampil memberi tumpuan dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan.
“Anak-anak di rumah ini juga tidak lekang menerima jemputan ke majlis berbuka puasa di pelbagai lokasi.
“Rata-rata mereka mengakui seronok dengan situasi ini di mana sebelum ini tidak mampu dan berpeluang berbuat demikian ketika berada bersama keluarga,” katanya kepada Teganukita.
Anak yatim berasal dari Dungun, Muhammad Hilmi Sallehudin, 13, berkata dia seronok berada di rumah anak yatim kerana bukan saja mempunyai ramai kawan malah dapat mengikuti pelbagai program istimewa termasuk lawatan sambil belajar dan berbuka puasa di hotel.
“Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana arwah ayah tidak mampu berbuat demikian.
“Sejak tinggal di rumah ini bermula Mac lalu, prestasi pelajaran saya juga meningkat kerana pelbagai kelengkapan disediakan, termasuk wang saku bulanan dan pakaian sekolah,” katanya.
Seorang lagi anak yatim, Sharifah Noor Syed Azman, berkata walaupun dirinya anak tunggal, dia tetap dihantar ibu ke rumah ini kerana tidak mampu menjaganya.
“Saya tidak terkilan dengan tindakan ibu kerana mengetahui apa yang dibuat ibu itu mempunyai pelbagai sebab.
“Pada bulan pertama datang ke sini tiga tahun lalu, terasa sebak dan sedih kerana terpaksa berpisa dengan ibu dan nenek,” katanya yang kematian bapa pada 2010 kerana menghidap penyakit jantung..
Katanya, lama kelamaan menjadi biasa dan lebih gembira tinggal di rumah anak yatim kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati secara percuma.
“Ada ramai pihak tampil membantu terutama pada Ramadan, rata-rata mereka yang bantu itu bagi duit dan pakaian raya,” katanya.