Halaman

18 August 2012

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin - MB


Saya mengambil kesempatan sempena hari yang mulia ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Terengganu.

Kepada perantau, saya dan keluarga mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan pandulah kenderaan anda dengan cermat serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Pada hari yang mulia ini ambillah kesempatan untuk menziarahi kedua ibu bapa kita, kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Kunjung mengunjung sempena Aidilfitri ini merupakan tradisi turun temurun yang mampu memupuk kemesraan antara kaum keluarga dan sahabat handai kita.

Justeru itu, saya minta tradisi ini diteruskan dan dipupuk di kalangan generasi muda. usah biarkan anak-anak kita melepak di depan televisyen atau bermain video game di dalam bilik saja pada sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Sempena hari lebaran ini marilah kita sama-sama ketepikan segala selisih faham, perbezaan ideologi politik, sambil kita semua mengeratkan semula tali silaturahim agar umat Islam dan bangsa Melayu menjadi kuat.

Tidak ada gunanya kita bergaduh sesama sendiri semata-mata disebabkan perbezaan pendapat dan fahaman politik kerana ia merugikan umat Islam dan bangsa kita sendiri.

Sementara kita masih bercakaran sesama sendiri, bangsa lain dan penganut agama lain sudah jauh meninggalkan kita dalam semua bidang.

Akhir sekali, saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakyat Terengganu jika sepanjang perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, terdapat kesilapan yang tidak disengajakan.