Halaman

29 October 2012

Pasukan hoki Terengganu bakal beri saingan Liga Hoki Kebangsaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Skuad hoki Terengganu bakal memberi saingan kepada kelab-kelab hoki di negara ini, jika hasrat menyertai Liga Hoki Kebangsaan pada tahun depan menjadi kenyataan.

Malah, dua kejayaan manis skuad hoki negeri pada tahun ini iaitu juara Sukan Malaysia 2012 dan johan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 baru-baru ini, dianggap permulaan terbaik untuk melangkah ke liga berkenaan.

Teganukita difahamkan pada masa ini Persatuan Hoki Terengganu sedang menyiapkan kertas kerja berkaitan syarat-syarat penyertaan dan prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan pasukan hoki negeri ini beraksi dalam Liga Hoki Kebangsaan pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya menaruh harapan yang tinggi agar hasrat menyenaraikan pasukan hoki negeri ini ke liga tersebut menjadi kenyataan.

“Kita harap pasukan hoki Terengganu dapat beraksi dalam Liga Hoki Kebangsaan musim depan dan mencipta lebih banyak kejayaan yang boleh mengharumkan nama negeri,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi komitmen yang tinggi bagi merealisasikan hasrat itu bagi memberi peluang pemain hoki tempatan diketengahkan dalam sukan tersebut.

Pada masa ini belum ada pasukan negeri menyertai Liga Hoki Kebangsaan dan pasukan Terengganu mampu memberikan saingan kepada kelab-kelab hoki sedia ada seperti Tenaga Nasional Berhad, Maybank, Sapura dan Kuala Lumpur jika diberi peluang menyertai liga itu.


Kerajaan belanja RM6.557 juta elaun sara hidup nelayan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM6.557 juta untuk bayaran elaun sara hidup kepada 4,994 orang nelayan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

 Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, pihaknya juga telah menginsurankan 4,182 orang nelayan diseluruh negeri setakat ini di bawah skim Insurans Takaful Kemalangan Diri Nelayan.

Menurutnya, nelayan yang dilindungi insurans perlu membayar RM100 setahun dan mesti berumur 18 tahun hingga 70 tahun sebagai persediaan kewangan luar jangka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

 "Setiap nelayan mendapat perlindungan RM100,000 jika kematian akibat kemalangan di laut serta RM50,000 bagi kematian kerana kemalangan di darat selain beberapa faedah lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian di majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai kepada nelayan kawasan Kuala Terengganu Selatan (KTS), di Dewan Sivik Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Seramai 600 nelayan dari kawasan KTS menerima RM200 setiap seorang bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan membabitkan jumlah keseluruhannya RM120,000 melalui program pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan.

Bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Terengganu mewakili Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Turut hadir, Pengerusi Nelayan Kawasan KTS, Abdullah @ Hamzah Jusoh.

"Elaun sara hidup ini bertujuan membantu meringankan beban para nelayan di negeri ini yang sebahagian besarnya bergantung kepada hasil tangkapan ikan semata-mata," katanya.

Menurut Mohd Saffe, selain elaun sara hidup pelbagai bantuan lain telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan nelayan seperti Insentif Tangkapan Ikan, Skim Bantuan Bencana Alam dan banyak lagi.

Jemaah haji penerbangan terus pulang 13 November

Jemaah haji dari Pantai Timur yang menggunakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Jeddah/Madinah dijangka pulang ke tanah air pada 13 November ini.

Pesawat pertama dengan 447 penumpang yang mengunakan penerbangan terus berkenaan dijadualkan mendarat di LTSM kira-kira jam 8.25 pagi.

Manakala pesawat kedua dijadualkan mendarat di lapangan terbang sama pada jam 8.25 pagi, 23 November.


Tahun ini merupakan tahun ke-5 bakal haji menggunakan LTSM bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana seramai 11,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.


400 peserta bakal sertai SQ 2012

Seramai 400 peserta dalam dan luar negara dijangka akan membanjiri Seminar Antarabangsa al-Quran Dalam Masyarakat Kontemporari 2012 (SQ 2012)di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, pada 1 Disember ini.

Pengerusi seminar, Prof. Madya Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata, SQ 2012 anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan turut disertai wakil dari The World Islamic Sciences and Education University (WISE), Jordan.

"Seminar antara lain bertujuan membincang isu-isu kontemporari perspektif Quran menjadi bukti ketinggian fungsi dan rujukan autoritatif dan autentik relevan dalam segenap aspek kehidupan manusia,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata, seminar dua hari yang julung kali diadakan akan melibatkan pembentangan ucaptama oleh Datuk Prof. Dr. Zulkifli Mohd. Yusof, profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith Universiti Malaya.

 Beliau berkata, seminar itu akan membincangkan sejumlah kertas kerja oleh peserta dari dalam dan luar negeri termasuk wakil daripada WISE.

 

PPHPTBT bakal buka pusat hemodialisis

Oleh: Suriati Ali

 Nasib pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan bakal terbela selepas sebuah pusat hemodialisis yang dikendalikan Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu bakal beroperasi awal tahun depan.

Pengerusinya, Dr Le Hong Bio, berkata masalah pertambahan bilangan pesakit buah pinggang dan kekurangan pusat rawatan di Terengganu antara faktor utama pihaknya mewujudkan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu (PHPTBT) bagi memberi rawtan percuma kepada pesakit itu yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Pusat tersebut yang bakal beroperasi di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, akan dibuka mulai awal tahun depan..

Berdasarkan data, terdapat pertambahan mendadak pesakit buah pinggang yang dirawat secara dialisis di Terengganu iaitu daripada 425 pesakit pada 2006 kepada 749 tahun lepas.

“Jumlah ini adalah bilangan buah pinggang yang sedang menerima rawatan dialisis, tetapi masih ramai lagi pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan sama.

“Oleh kerana ramai pesakit itu kurang berkemampuan, peluang untuk mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis swasta tanpa sokongan kewangan adalah mustahil,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Santapan Amal sempena perasmian pusat hemodialisis itu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultanah Terengganu Nur Zahirah; Pengerusi Seumur Hidup Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu (PPHPTBT),Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff berkenan berangkat pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 Dr Le Hong Bio turut memberitahu sejajar dengan penubuhan pusat berkenaan yang tidak berorientasikan keuntungan, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan hemodialisis terbaik melalui penggunaan 20 mesin canggih dan berkualiti tinggi.

 “Bangunan pusat tersebut sudah pun siap dan kini dalam proses memindahkan mesin serta peralatan perubatan lain sementara menunggu lesen penuh untuk beroperasi.

 “Dua konsultan iaitu pakar dalam bidang nefrologi yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah akan memantau keseluruhan operasi dan rawatan di pusat itu,” katanya.


Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Santapan Amal

 Oleh: Suriati Ali 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Amal sempena perasmian Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu (PHPTBT) di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam semalam.

Tuanku Sultan Mizan melakukan gimik perasmian Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu sambil diperhatkan oleh Menteri Besar dan Tengku Besar Terengganu
Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Pengerusi Seumur Hidup Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu (PPHPTBT),Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Asegaff.

Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi PPHPTBT, Dato' Dr Le Hong Bio.



 PHPTBT yang bakal beroperasi di Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat itu menawarkan perkhidmatan percuma kepada penduduk kurang berkemampuan mendapatkan rawatan hemodialisis.



 Pusat itu ditubuhkan di atas inisiatif Tengku Besar Terengganu kerana menyedari pusat rawatan hemodialisis yang ada sekarang tidak mencukupi bagi pesakit buah pinggang yang semakin meningkat pada setiap tahun.

PPHPTBT telah lama berhasrat untuk mengembeling tenaga, sumber, pengalaman serta kepakaran mereka untuk menyumbang bakti secara langsung kepada masyarakat miskin dan berpendapatan rendah.



Selain memberi rawatan, PPHPTBT turut mengadakan aktiviti membicarakan amalan `kehidupan sihat’ melalui promosi dan seminar sebagai usaha mencegah penyakit kegagalan buah pinggang.

 








Ketengah anjur ekspedisi berakit

Oleh:Noraini Jusoh 

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bakal menganjurkan Ekspedisi Berakit 1Malaysia 1Ketengah Sungai Dungun 2012 bermula 2 hingga 4 November ini.

Pengurus Unit Informasi, Komunikasi dan Khidmat Pelanggan Ketengah, Rosli Haji Ngah berkata, ekspedisi kali keempat yang diadakan ini akan bermula di kampung Pasir Raja dan berakhir di kampung Jerangau, Dungun.

“Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Dungun sejauh 35 kilometer melibatkan seramai 275 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 55 buah rakit yang mengandungi lima orang peserta bagi setiap rakit.

“Angka 55 buah rakit digunakan adalah menandakan sempena 55 tahun kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.

Katanya, 17 buah rakit merupakan peserta dari jabatan dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar bandar dan Wilayah, Putrajaya; 29 buah rakit persatuan dan NGO; 5 buah rakit IPT; 2 rakit untuk VIP dan 2 rakit untuk media dan petugas.

“Sepanjang tiga hari berlangsung, selain aktiviti berakit, pelbagai acara menarik yang lain bakal menanti peserta antaranya seperti pembahagian keluarga angkat, malam kebudayaan, kenduri kampung, sukan air dan banyak lagi.

“Untuk ekspedisi berakit, sebanyak 5 hadiah disediakan untuk kategori rakit paling kreatif, kerjasama kumpulan terbaik, rakit paling laju, keseragaman pasukan dan hadiah misteri,” katanya.

Menurut Rosli, antara objektif ekspedisi ini adalah untuk memperkenalkan wilayah Ketengah terutamanya Sungai Dungun dan kampung tradisional di sepanjang tebingnya, menghidupkan kembali nostalgia berperahu dan berakit serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk.

YB Datuk Zaabar Dato’ Mohd Adib, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri bakal melepaskan peserta ekspedisi di Dataran Kejat, Kampung Pasir Raja dan majlis penutup di Kampung Tanjung, Jerangau akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, YB Dato’ Haji Din Adam.


Graduasi SMK Mak Lagam Kali Ke-6

Oleh: Nurul Aziela Saberi


Seramai 113 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam menerima sijil mereka dan diikuti dengan beberapa penyampaian anugerah lain seperti Anugerah Pelajar Cemerlang dalam setiap mata pelajaran, Anugerah Kepimpinan Kelas, Anugerah Emas TESMAL, Anugerah Sahsiah Cemerlang, Anugerah Cemerlang Badan Uniform dan Penghargaan kepada setiap Guru Kelas Tingkatan 5, kelmarin.

Kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah diri tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan berterusan oleh semua pihak, khususnya pelajar dan guru-guru.

“Namun berkat usaha dan kesungguhan kedua-dua pihak, tidak mustahil dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi kokurikulum dan sahsiah diri,” ujar Penasihat Khas Menteri Belia Dan Sukan, Dato Dr. Ramlan Aziz yang mewakili YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek Menteri Belia Dan Sukan ketika merasmikan majlis tersebut.

Dalam usaha untuk mencapainya, pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan komitmen yang tinggi telah dirancang dengan mengadakan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan bagi merealisasikan SMK Mak Lagam cemerlang dan terbilang setanding sekolah Elite lain.


Nur Yusnina Zakirah Zakaria telah dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Akademik secara keseluruhan pada peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Anak kelahiran dari Padang Pulut, Dungun ini menganggap pencapaian yang diterimanya ini sebagai satu pemangkin semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih sehingga menjelang peperiksan yang sebenarnya.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir dan beberapa wakil jemputan dari Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman.

 

28 October 2012

Besut akan dijadikan Daerah Pendidikan: MB

Oleh: Mohammad Ishak 


Kompleks Imtiaz Besut akan dijadikan Kampus Cawangan Universiti Sains dan Teknologi Jordan

Selepas Dungun yang dilahirkan sebagai Daerah Pendidikan kini Besut pula akan dijadikan pusat ilmu selaras dengan pelbagai kemudahan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah itu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said (gambar) ketika memberi jaminan itu berkata Besut tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan sebaliknya satu masa ia akan muncul sebagai daerah pendidikan terkemuka di negeri ini.

Katanya, terbaru kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Sains dan Teknologi Jordan (USTJ), bersetuju untuk membuka kampus cawangannya di Besut yang akan beroperasi di Kompleks Imtiaz Besut, di Bukit Keluang, dekat Jertih.

Menurutnya,pengambilan kumpulan pertama pelajar USTJ yang akan menyediakan kursus kedoktoran dan kejuruteraan dijangka bermula tahun depan.

Beliau berkata, USTJ adalah antara universiti terbesar di Jordan dengan mempunyai kira-kira 22,000 pelajar dalam bidang berkenaan.

 “Pembukaan kampus cawangan universiti berkenaan akan membuka era baru kepada penduduk daerah Besut dan ia juga akan dapat menjana ekonomi penduduk,” katanya selepas menyertai Majlis Korban Perdana anjuran Pemuda UMNO Bahagian Besut, hari ini.

Selain itu, katanya, Taman Ilmu yang dibina di Bukit Dendong, di kawasan DUN Kota Putera, satu lagi mercu tanda kepada pembangunan pendidikan daerah Besut dan apabila siap ia akan menempat pelbagai kolej universiti dari seluruh dunia.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan kerja pembinaan komponen Taman Ilmu ia akan dilakukan oleh syarikat dari Korea dan berharap ia dapat disiap sepenuhnya pada akhir tahun 2013.

Menteri Besar hadir Korban Perdana Pemuda UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 


Korban Perdana anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut, menarik perhatian apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said turun padang bersama penduduk daerah itu menumbangkan lembu korban.

Bukan sekadar seorang pemimpin, malah Menteri Besar turut menunjukkan ketangkasan menumbangkan lembu pertama untuk disembelih bersama penduduk yang disaksikan lebih 1,000 tetamu pada majlis berkenaan.



Malah, selepas disembelihkan oleh tukang sembelih Dato’ Ahmad kemudian menyertai orang ramai bergotong royong melapah dan memotong daging lembu untuk diagihkan kepada golongan miskin dan orang ramai yang hadir pada program berkenaan.



Sebanyak 22 ekor lembu disediakan oleh Pemuda UMNO Besut sempena majlis korban perdana yang berlangsung di perkarangan Kilang Pointray di Kawasan Perindustrian Gong Medang,Besut.




Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Ibrahim Mohamad.

Ketua Pemuda UMNO Besut, Mahadi Musa berkata, majlis korban perdana itu mendapat sokongan semua pihak termasuk pergerakan pemuda daripada empat kawasan DUN di Parlimen Besut .


Katanya, kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk golongan fakir miskin turut menerima pengagihan daging korban yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Mahadi berkata, program julung kali diadakan itu mendapat sambutan penduduk setempat dan ia satu aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Besut bertujuan memberi peluang kepada golongan miskin turut merayakan Aidiladha lebih meriah.