Halaman

17 November 2012

Solat Hajat penyokong PAS minta hancurkan UMNO



Oleh: Mohammad Ishak 

KETIKA seluruh umat Islam di dunia sedang berdoa memohon bantuan dan pertolongan Allah berhubung serangan Israel terhadap Palestin, sebuah parti yang mendakwa memperjuangan Islam mengejutkan rakyat negara ini apabila mereka mengaminkan doa memohon Allah menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengajuran Solat Hajat bersempa Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di Stadium Muhamad,Kota Bharu,Kelantan siang tadi sememangnya memperlihatkan sikap sebenar perjuangan PAS yang bertentangan dengan amalan Islam.

Parti itu yang kini menjadi sahabat karib kepada DAP dan PKR sebelum ini pernah mengkafirkan orang-orang UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC kini dilihat sudah hilang pedoman dan arah tuju sebenar apabila bersahabat dengan rakan Pakatan Rakyat.

 Solat Hajat di imamkan oleh adik Menteri Besar Kelantan Nik Razi Nik Mat.dengan Isi doa beliau berbunyi "KO BN !! .. KO BN !!...BN KO !!... KO BN !!.. BN KO !!...." itu turut mngejutkan petugas media kerana pertama kali mendengar doa sedemikian.

Program solat hajat itu adalah penutup Muktamar PAS kali ke 58 yang mencetuskan kemarahan umat Islam negara ini.

Dengan doa supaya Allah menghancurkan UMNO dan BN sehingga ditelan bumi seperti kaum Namrud yang didakwa pemimpin UMNO bersikap zalim apakah PAS berjaya menumbangkan BN

Sewajarnya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Tereengganu, Dato;Seri Ahmad Said, sebelum ini melebelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.

Sebaliknya,Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang membenarkan doa itu dilakukan penyokongnya kerana mereka dikatakan sedang dizalimi oleh UMNO dan pemimpin UMNO dan BN.

15 program di Tasik Kenyir tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sebanyak 15 program akan diadakan di Tasik Kenyir pada tahun depan bagi menarik pelancong ke Terengganu, khususnya sempena promosi Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).



Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata program berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan kerajaan negeri.

Acara terbesar yang akan diadakan di Tasik Kenyir sebagai pembuka kalendar tahun 2013 ialah Le Tour De Langkawi pada 28 Februari hingga 2 Mac.

Manakala Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir pula akan diadakan sebanyak lima siri iaitu 10 hingga 11 Februari, 22 hingga 23 Mac, 12 hingga 13 September dan 22 hingga 23 November. Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan dari 9 hingga 10 Mac dan Festival Kenyir dari 16 hingga 20 Mei.

Beliau berharap program-program berkenaan akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir dan seluruh negeri Terengganu.


Sementara itu, Mohd Safuan Ismail, 26, dari Paka, Dungun, telah dinobatkan sebagai juara Monsson Cup Casting 2012 anjuran beberapa syarikat swasta dengan kerjasama Sekretariat TMT 2013 yang diadakan di Tasik Kenyir selama empat hari mulai 14 November lalu.

Manakala Mohd Arsyad Ismail pula dipilih sebagai tekong terbaik sementara Dzafir Ahmad yang berjaya menangkap ikan kelisa diberi anugerah khas kerana tangkapan yang unik itu.


Terengganu minta swasta bantu promosi Tasik Kenyir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu meminta sektor swasta turut membantu mempromosikan bidang pelancongan di Terengganu, khususnya di kawasan Tasik Kenyir.



Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata pihaknya amat memerlukan bantuan sektor swasta bagi menarik pelancong ke pelbagai destinasi di negeri ini, khususnya pada tahun depan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sedia membantu menjayakan program-program anjuran syarikat swasta bagi mempromosikan bidang pelancongan, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Monsson Cup Casting 2012 yang bekerjasama dengan Sekretariat TMT 2013 yang menganjurkan program berkenaan di Tasik Kenyir selama empat hari mulai 14 November lalu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami amat mengalu-alukan usaha-usaha sebegini kerana bentuk penganjurannya adalag secara swasta, tetapi ianya secara langsung akan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai lokasi pemancing utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup program tersebut dan penyampaian hadiah kepada pemenang yang diadakan di Pulau Mahathir di Tasik Kenyir, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Fathil Abd Ghani.

Seramai 130 peserta yang terdiri daripada pemancing dari seluruh negara menyertai acara itu yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu bagi memberi peluang kepada kaki pancing untuk memancing di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, pada tahun 2011 seramai 275,241 pelancong datang ke Tasik Kenyir manakala bagi tahun ini sehingga Ogos lalu 269,863 orang telah berkunjung ke tasik tersebut.

Beliau menjangkakan pertambahan pelancong sebanyak 20 peratus pada tahun ini dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.



Perjuangan asal PAS jauh terpesong

Oleh: Noraini Jusoh

Perjuangan asal PAS yang dulunya dikatakan ingin memperjuangkan agama Islam didapati jauh terpesong sejak bersahabat baik dengan DAP dan PKR.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, demi kuasa politik mereka sanggup bekerjasama dengan pihak yang tidak sepatutnya walaupun sedar hanya dijadikan boneka dalam perjuangan yang tiada penghujungnya.

“Apa yang penting bagi PAS ialah untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) justeru mereka sanggup mempertahankan segala kesalahan yang dilakukan oleh DAP dan PKR termasuk yang melibatkan maruah agama Islam.

 “Sebagai contoh, semakin dekat menjelang pilihan raya, isu hudud kembali dihangatkan oleh pihak pembangkang terutamanya PAS untuk menawan pengundi supaya berpihak kepada mereka,” ujarnya.

Katanya, sekiranya PAS sememangnya memperjuangkan agama Islam dan betul-betul ingin melaksanakan hukum hudud, mereka perlu kaji semula hubungan dengan DAP kerana dari awal lagi DAP sememangnya menolak hukum tersebut.

Beliau berkata demikian kepada sidang media ketika Majlis Perasmian Pertandingan Golf Piala Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus 2012 bertempat di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, hari ini.

Katanya, beliau percaya apabila gagal menawan Putrajaya selepas PRU-13 nanti, persahabatan baik antara PAS, DAP dan PKR akan berakhir.

 

MB sertai kejohanan golf

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Golf Piala Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus 2012 telah berlangsung di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, pagi ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut menyertai kejohanan golf yang julung kali dianjurkan oleh Umno Bahagian Kuala Nerus sekaligus menyempurnakan majlis perasmian pertandingan tersebut.

Kejohanan golf yang bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara pucuk pimpinan tertinggi Umno Terengganu dengan kepimpinan Umno di peringkat bahagian yang lain nyata berhasil kerana mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Nerus.

Setiap DUN dalam daerah Kuala Nerus yang terdiri daripada DUN Bukit Tunggal, Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir menghantar antara 7 hingga 8 orang wakil.

Turut menyertai pertandingan tersebut ialah Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif, Top IT Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik serta pegawai kanan kerajaan yang lain.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abd. Rahman turut hadir di kejohanan yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini.

Menteri Besar sempat bergambar sebagai kenangan dengan semua pemain sebelum pertandingan dimulakan dalam keadaan cuaca yang begitu baik.

 

Konvensyen Pembangunan Besut buka minda peserta


Sebahagian peserta di Konvensyen Pembangunan Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Konvensyen Pembangunan Daerah Besut bertemakan “Kearah Besut Baru” memperlihatkan usaha penganjur untuk memberi gambaran sebenar mengenai setiap pelaksanaan program dan rancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada penduduk daerah itu.

Ini kerana ramai penduduk daerah itu yang masih menafikan kemajuan dan kemudahan yang sudah dinikmati oleh rakyat sejak sebelum merdeka hingga ke era masa kini yang meletakkan Besut sudah banyak berubah sama ada dalam sosio ekonomi dan pembangunan fizikal.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, rakyat mungkin terlupa dengan usaha kerajaan membangunkan daerah itu terutama dalam bidang pendidikan dan pelancongan yang menyaksikan kemajuan diniimati.

Katanya, dalam bidang pendidikan Besut mempunyai Maktab Perguruan, MRSM, Sekolah Menengah Imtiaz. Sekolah Menengah Vokasional,IKM,Pusat Minda dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Manakala pembangunan sektor pelancongan pula ia memperlihatkan Pulau Perhentian,LA Hot Spring, Gunung tebu,Bukit Keluang, Air terjun Lata Tembakah dan Belatan yang memberi aset besar kepada industri pelancongan negeri ini.

“Taman Ilmu dan Kompleks Imtiaz juga akan memberi kesan pembangunan yang jelas kepada sosio ekonomi penduduk walaupun pengisian di tempat berkenan mengalami perubahan daripada matlamat asal,” katanya.
Idris berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pembangunan Daerah Besut anjuran Pejabat Daerah Besut dan Majlis Belia Daerah Besut (MBDB).

Program yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong itu dihadiri 500 jemputan daripada kakitangan pelbagai jabatan, pemimpin NGO dan usahawan tempatan.

KKGLMSM medan penuhi pandangan, suara guru

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan sentiasa mendengar suara dan pandangan guru menerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) bagi memastikan golongan pendidik dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi serta mencapai tahap profesionalisme terbaik untuk menghasilkan anak bangsa yang cemerlang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata menerusi KKGLMSM pelbagai manfaat dinikmati golongan pendidik termasuk gaji permulaan yang sama antara guru sekolah menengah dan rendah yang mempunyai kelulusan yang sama, Time Base Promotion, Perkhidmatan 2 Skim, ganjaran kepada guru cemerlang dan kenaikan gred sehingga DG52 dan DG54.

“Justeru itu, dengan pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan, guru haruslah sentiasa memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak kita.

“Golongan pendidik perlu berfikir di luar kotak pemikiran yang biasa, sebaliknya harus lebih inovatif dan kreatif kerana gurulah yang menentukan kecemerlangan anak bangsa,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Jubli Emas KKGLMSM di Hotel Permai, Kuala Terengganu, malam tadi.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Presiden KKGLMSM, Datuk Jemale Paiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin.

Menteri Besar berkata, kecemerlangan anak bangsa menjadi kayu ukur kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara serta memastikan segala perancangan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 mengikut acuan sendiri tercapai satu masa nanti.

“Terengganu sendiri pada satu ketika dulu sering ketinggalan dalam aspek pendidikan berbanding negeri jiran, Kelantan yang jauh kehadapan. Bagaimanapun, dengan pelaburan yang tinggi terhadap sektor itu jika dibandingkan dengan negeri lain, membolehkan Terengganu cemerlang dalam bidang pelajaran sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan Pusat memperuntukkan bajet tahunan untuk pelajaran berjumlah RM38 bilion, satu peruntukan yang cukup besar dan diberi keutamaan berbanding sektor lain. Manakala Terengganu membelanjakan RM340 juta untuk pendidikan dan antara negeri paling tinggi memperuntukkan bajet bagi sektor itu,” katanya.

Katanya, daripada keseluruhan bajet tahunan itu, sebanyak RM113 juta disediakan bagi penajaan melanjut pelajaran di luar negara, manakala peruntukan RM17 juta setahun bagi menyediakan `one-off’ untuk anak negeri yang berjaya meneruskan pengajian di peringkat ijazah (RM1,000 seorang), diploma/matrikulasi (RM750 seorang) dan sijil RM500 seorang.

 

Risda yakin capai sasaran akhir tahun

Oleh; Esah Abdullah

Pekebun kecil getah kini mula sedar mengenai kepentingan membaja tanaman dengan cara yang betul boleh membantu meningkatkan pengeluaran susu getah sekali gus memberi pulangan yang berganda.

Pengarah RISDA negeri, Haji Zakaria Mat Zin berkata, sejak kempen berkenaan dilaksanakan November tahun lalu, RISDA merekodkan pertambahan hasil anggaran 25 peratus bagi sehektar tanaman getah.

Katanya, sejak pelaksanaan kempen itu pekebun kecil yang sebelum ini tidak mengambil berat mengenai kepentingan membaja mula mengikuti amalan pertanian baik dengan membaja tanaman mengikut saranan pegawai Risda.

 “Ternyata pelaksanaan kempen 'Gerakan Membaja' yang diperkenalkan RISDA berjaya meningkatkan pulangan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah, apabila pengeluaran hasil mencapai kadar maksimum,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh bulan tahun ini (Januari hingga Julai), jabatan merekodkan pengeluaran hasil sebanyak 1,100 kilogram (kg) getah bagi setiap hektar, berbanding 900 kg per hektar bagi tempoh sama tahun lalu.

 “Saya yakin menjelang akhir tahun ini, rekod pengeluaran hasil akan mencapai sasaran ditetapkan iaitu 1,600 kg per hektar,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana pekebun kecil hari ini mula mengamalkan pembajaan yang baik serta mendapat pulangan yang lebih menguntungkan.

Katanya, selepas melihat hasil pelaksanaan kempen, pihaknya akan terus memberi galakkan dengan lebih kerap turun padang bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mempunyai kesedaran membaja tanaman.

PPD Ladang kesal sikap pembangkang

Oleh: Suriati Ali

 Sikap pemimpin pembangkang yang terus menghentam dan sengaja menimbulkan pelbagai isu terhadap Pangsapuri Ladang Gemilang (PLG) cukup dikesali dan memualkan pelbagai pihak.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh, berkata apa yang dikesalkan mereka yang bertindak menabur fitnah dan memutarbelitkan fakta itu bukannya penduduk Ladang dan di tinggal di pangsapuri berkaitan.

“Sebaliknya puak pembangkang yang tinggal di kawasan Batu Burok gemar bercakap dan mengeluarkan fakta tanpa diselidik dan mengetahui kedudukan sebenar.

“Puak itu sengaja menimbulkan pelbagai isu semata-mata mahu menimbulkan kebencian terhadap yang kerajaan memerintah. Jika perkara itu berlaku kita buat baik pun, mereka nampak buruk,” katanya ketika ditemui Teganukita di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, pelbagai cerita kurang enak dilemparkan melalui saluran tertentu termasuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS), blog dan ceramah-ceramah.

“Isu seperti jenazah terpaksa dikendong untuk dibawa turun, harga sewa beli mahal dan pampasan yang dibayar tidak setimpal dan harga sewa mahal sengaja diputarbelit agar timbul kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Saya mencabar mereka terutama pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni,” katanya.

 Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. “Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Seorang penghuni, Abu Bakar Salleh, 70, ketika ditemui meluahkan rasa terharu apabila berpeluang mendiami rumah kos rendah itu setelah sekian lama tinggal di Kampung Ladang Tok Pelam, hampir 40 tahun lalu.

 Katanya, selama tempoh itu, dia dan keluarga terpaksa tinggal di atas tanah milik kerajaan di kampung berkenaan sebelum diberi tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang.

 “Walaupun terpaksa menyewa RM300 sebulan, dia bersama isteri serta dua orang cucu tetap gembira dan bersyukur kerana berpeluang tinggal di kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Bagi Mahaimi Ismail, 37, pula, peluang tinggal di pangsapuri itu sekurang-kurangnya menjadi pengubat impiannya sekeluarga untuk tinggal di rumah baru yang lebih selesa.

“Sungguh pun berbeza dengan sebelumnya yang ‘tinggal percuma’ di Kampung Ladang Mengabang di sini sejak kecil lagi, dia tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan itu.

“Sudah lama kami sekeluarga menunggu sebuah kediaman baru yang lebih selesa dan hari ini terbukti, tak lama lagi kami akan pindah ke rumah sewa baru, terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang mempunyai dua orang anak.

Seorang lagi penghuni, Ngah @ Awang Salleh, 73, turut terharu atas keprihatinan kerajaan negeri menyediakan kemudahan kediaman yang jauh lebih baik kepadanya sekeluarga.

 

16 November 2012

Umat Islam perlu jadi contoh – mb

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mahu umat Islam di negeri ini menjadi contoh kepada penganut agama lain dengan cara menghayati ajaran Islam yang mengutamakan perpaduan dan tidak berbalah sesama sendiri.



Beliau mahu umat Islam mengamalkan hidup sederhana dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.

“Dengan mengamalkan cara hidup yang sederhana kita harap masyarakat negeri ini akan hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Khalifah, Taman Jaya, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat pada majlis itu dan menyempurnakan perasmiannya.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat; ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Masjid berharga RM4 juta itu pada asalnya sebuah surau, tetapi dinaiktaraf menjadi masjid bagi menampung keperluan jemaah di kawasan berkenaan. Masjid yang mampu menampung 1,000 jemaah itu merupakan antara 131 buah masjid yang terdapat di daerah Kuala Terengganu.