Halaman

17 November 2012

Risda yakin capai sasaran akhir tahun

Oleh; Esah Abdullah

Pekebun kecil getah kini mula sedar mengenai kepentingan membaja tanaman dengan cara yang betul boleh membantu meningkatkan pengeluaran susu getah sekali gus memberi pulangan yang berganda.

Pengarah RISDA negeri, Haji Zakaria Mat Zin berkata, sejak kempen berkenaan dilaksanakan November tahun lalu, RISDA merekodkan pertambahan hasil anggaran 25 peratus bagi sehektar tanaman getah.

Katanya, sejak pelaksanaan kempen itu pekebun kecil yang sebelum ini tidak mengambil berat mengenai kepentingan membaja mula mengikuti amalan pertanian baik dengan membaja tanaman mengikut saranan pegawai Risda.

 “Ternyata pelaksanaan kempen 'Gerakan Membaja' yang diperkenalkan RISDA berjaya meningkatkan pulangan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah, apabila pengeluaran hasil mencapai kadar maksimum,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh bulan tahun ini (Januari hingga Julai), jabatan merekodkan pengeluaran hasil sebanyak 1,100 kilogram (kg) getah bagi setiap hektar, berbanding 900 kg per hektar bagi tempoh sama tahun lalu.

 “Saya yakin menjelang akhir tahun ini, rekod pengeluaran hasil akan mencapai sasaran ditetapkan iaitu 1,600 kg per hektar,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana pekebun kecil hari ini mula mengamalkan pembajaan yang baik serta mendapat pulangan yang lebih menguntungkan.

Katanya, selepas melihat hasil pelaksanaan kempen, pihaknya akan terus memberi galakkan dengan lebih kerap turun padang bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mempunyai kesedaran membaja tanaman.