Halaman

12 November 2012

4,000 remaja hadir Himpunan Generasi Muda Marang



Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Generasi Muda Marang yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI),Kuala Terengganu, petang semalam mencatat sejarah apabila orang muda dari daerah Marang berjaya dikumpulkan dalam satu program dianggap berprestij.

Program anjuran Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Marang itu berjaya mengumpul lebih 4,000 peserta yang mewakili kedua sayap parti keramat UMNO Bahagian Marang.

Sebenarnya, agak sukar untuk mengumpul sejumlah remaja yang begitu besar tetapi atas semangat dan kesedaran untuk berjuang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13), ternyata remaja dari kawasan yang dikuasai pembangkang itu memberi mesej baru kepada pihak pembangkang.

Kehadiran Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Said yang diiringi oleh Ketua UMNO Bahagian Marang,Datuk Yahya Khatib Mohamad disambut penuh semangat oleh peserta yang berkumpul sejal awal pagi lagi.

Program sehari yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik satu perhimpunan yang dianggap berjaya membangkitkan semangat remaja khususnya ahli Pemuda dan Puteri yang sebelum ini bergerak secara kecil-kecilan. Menteri Besar ketika berucap pada majlis itu, mahu generasi muda khususnya ahli pemuda dan puteri bangkit menentang musuh yang cuba merosakkan kepemimpinan negara melalui apa cara sekali pun.

Katanya, walaupun Marang yang dikuasai pembangkang tetapi kerajaan negeri tidak meminggirkan pembangunan untuk rakyat di kawasan berkenaan

Malah,katanya, kerajaan negeri merancang membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana mulai tahun depan untuk diagihkan kepada penduduk daerah itu yang tidak mempunyai rumah kediaman.