Halaman

12 November 2012

Muzium anjur pameran Islamik 2012

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu bakal menganjurkan Pameran Islamik 2012 bertempat di Foyer, Kompleks Muzium negeri bermula 14 November ini sehingga 30 Disember depan.

 Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof berkata, sebagai aktiviti penutup tirai tahun ini, pameran yang bakal berlangsung akan memaparkan satu konsep yang agak universal berkaitan Islam.

“Pengunjung yang datang berpeluang melihat sendiri paparan sejarah kedatangan awal agama Islam di semenanjung, al-Quran dan manuskrip, peralatan dan teknologi, kraf dan senibina Islam serta pelbagai lagi.

“Selain itu, seni dalam Islam turut diketengahkan melalui alunan zikir, lagu rodat dan nasyid, ujarnya.

Katanya, daya kreatif masyarakat Islam dahulu sebagai penoraka disiplin ilmu yang baru berlandaskan al-Quran dan hadith turut didedahkan kepada pengunjung.

 “Acara sampingan seperti kuiz untuk pelawat, klinik al-Quran, klinik tulisan jawi serta gerai jualan turut disediakan bagi memeriahkan pameran pada kali ini,” katanya.

Katanya, pameran ini diharap dapat mendedahkan kepada orang ramai bahawa Islam itu cukup luas dan liberal selain memberi kesedaran bahawa Islam bukanlah agama yang mengongkong umatnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui Islam dengan lebih mendalam dijemput hadir beramai-ramai ke pameran yang menarik ini.