Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri untuk bersama-sama menjayakan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) pada 2013.
Pengerusinya, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, pihaknya bersedia memain peranan dan merealisasikan apa saja tugas yang diberikan kerajaan dan akan memastikan TMT berjalan lancar.
“Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai perlu berganding bahu bersama kerajaan bagi memastikan program yang dirancang berjalan lancar,” katanya.
Katanya, inisiatif kerajaan mewujudkan Payang Walk merupakan satu produk baru pelancongan di negeri ini kerana ia bakal menempatkan pelbagai aktiviti di pentas kebudayaan seperti mak yong, rodat, wayang kulit dan sebagainya turut diadakan jualan barangan kraf, kuih muih, laman seni , kios minuman dan river cruise.
“Saya yakin semua perancangan ini menjadi kenyataan dan tiada lagi kedengaran rungutan dari pelancong luar yang menginap di sini, kerana aktiviti pada waktu malam terisi dengan adanya Payang Walk,” katanya.
Sehubungan itu, sempena TMT sebanyak 33 acara utama dan sampingan tercatat dalam Kalendar Pelancongan Negeri dan mensasarkan empat juta pelancong asing dan domestik akan datang ke negeri ini.