Halaman

13 November 2012

MATTA anjur seminar pembangunan pakej pelancongan

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu telah menganjurkan Seminar Pembangunan Pakej-Pakej Pelancongan sempena TMT 2013 bertempat di Kuala Terengganu, semalam.

 Seminar yang berlangsung selama sehari ini membincangkan pakej-pakej pelancongan menarik yang terdapat di Terengganu yang boleh dipromosikan kepada pelancong khususnya sempena TMT 2013 nanti.

Ketua pembentang, Encik Alex Lee Yun Ping berkata, dua topik utama dibincangkan dalam seminar tersebut iaitu mengenai pakej-pakej pelancongan berbentuk pulau dan tasik serta perbincangan yang berkisar kepada pakej-pakej pelancongan bandar, acara, kebudayaan dan kesenian.

 “Sepanjang bengkel berlangsung lebih kurang 10 pakej siap dibincangkan dan selebihnya akan diserahkan kepada sekretariat TMT 2013 untuk tindakan lanjut.

 “Antara yang telah dipersetujui oleh peserta seminar yang sebahagian besarnya terdiri daripada pengusaha produk pelancongan ialah pakej Tasik Kenyir, Perhentian Discovery, Bamboo Village Homestay serta pelbagai pakej menarik yang lain,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menurut Alex, kebanyakkan pakej yang dipersetujui dan telah mencapai kata sepakat mempunyai nilai untuk dijual dan harga setiap pakej juga berbaloi kepada pelancong yang datang ke sini.

 “Melalui seminar ini juga, pakej-pakej pelancongan sedia ada juga boleh dikemaskini dengan lebih terperinci dan ditambah nilai demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri dalam menarik empat juta pelancong datang ke Terengganu tahun hadapan,” ujarnya kepada sidang media selepas majlis tersebut.