Halaman

12 November 2012

Persatuan bola usah abai aspek pembangunan pemain


Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan setiap persatuan bola sepak negeri agar tidak mengabaikan soal pembangunan pemain dalam kerancakan membeli pemain tersohor bagi mengisi tonggak utama pasukan masing-masing ketika ini.

Beliau berkata, persatuan bola sepak negeri perlu mencontohi kelab-kelab bola sepak luar negara yang turut berfungsi sebagai kilang dalam membangunkan pemain sehingga lahirnya pemain-pemain ternama dunia. 

“Mengambil pemain tersohor dunia (seperti yang dilakukan persatuan bola sepak negeri sekarang) tidaklah asing sebab dalam liga-liga besar di England dan Sepanyol juga mereka lakukan perkara serupa.

“Tetapi pada masa sama saya minta persatuan bola sepak negeri tidak mengabaikan program pembangunan pemain,” katanya mengulas mengenai persatuan bola sepek negeri yang kini rancak membeli pemain bagi menghadapi saingan liga Malaysia musim depan.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Fasa 3 untuk pelajar sekolah menengah Parlimen Kemaman di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, baru-baru ini.

Namun , katanya, situasi sekarang dilihat ada persatuan bola sepak negeri yang lebih mementingkan untuk membeli pemain dari membangunkan pemain. Berikutan itu di negara ini ketika ini kebergantungan dalam membangunkan pemain bola sepak hanyalah di peringkat pusat iaitu menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil.

 “Bila keadaan ini berlaku akhirnya kita berputar pemain yang sama, hari ini main untuk negeri ini, esok untuk negeri itu, lusa untuk negeri ini lagi.

“Kalau saya tidak silap dalam Piala Suzuki AFF 2010, seramai 15 pemain adalah dilahirkan menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil,” katanya.