Halaman

15 November 2012

Larangan ceramah agama tanpa tauliah

Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melarang mana-mana pihak di Terengganu menganjur atau mengadakan ceramah agama tanpa tauliah semata-mata mahu menjamin kesucian agama Islam.



 Bagintah bertitah, pada masa sama, larangan itu mampu mengawal kestabilan negara dari elemen tidak sihat dan kecelaruan fakta di kalangan rakyat terutama umat Islam.

 “Beta juga berhasrat melihat program keagamaan dan aktiviti pengajaran agama Islam di negeri ini dapat disemarakkan dan dipergiatkan terutama di masjid dan surau dalam usaha membendung gejala buruk dan kemerosotan akhlak masyarakat masa kini.

“Oleh itu, beta menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan negara terus maju, aman dan harmoni,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



 Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

 Sambutan Maal Hijrah yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada Dato’ Ismail Ali dan Tokoh Keluarga Mithali pula, Haji Mohd Ismail, 74 bersama pasangannya Teh @ Mariam Abdullah, 70 dari Kampung Pak Madah, Marang.

Manakala Tokoh Saudara Kita dianugerahkan kepada Mohd Ridzuan Ang Abdullah; anugerah Masjid Mukim terbaik (Masjid Kampung Bukit Chempaka) dan Masjid Kerajaan Terbaik dimenangi Masjid Bukit Payong.

 Titah baginda, sesungguhnya Malaysia adalah bumi bertuah dan dilimpahi nikmat keamanan dan kemakmuran walaupun dunia kini dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

 “Justeru, tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini, `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ sangat sesuai dan perlu dihayati bersama.

“Beta percaya tema ini akan menyumbang kea rah penyelesaian sesuatu pertikaian da membawa kepada keamanan manusia seluruhnya.

 “Hijrah bukan bermaksud rehat tetapi untuk meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah,” katanya.