Halaman

12 November 2012

YVM bantu ahli, jalankan aktiviti bermanfaat

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Veteran Malaysia (YVM) yang baru ditubuhkan bertujuan membantu ahli dan keluarga pertubuhan itu selain menjalankan pelbagai aktiviti yang mendatangkan faedah bersama.

Setiausaha Veteran Umno Pusat, Datuk Mustapa Yaakub, berkata YVM menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya separuh daripada kira-kira 748,000 veteran Umno yang berumur 60 tahun ke atas.

“YVM akan mengemukakan permohonan penubuhannya, yang mendapat persetujuan Veteran UMNO, kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk kelulusan dalam masa terdekat.

"Tujuan YVM ditubuhkan adalah untuk menjalankan kegiatan kepada seluruh anggota dan keluarga veteran parti itu di seluruh negara di mana semua anggota Umno yang berumur 60 tahun ke atas, secara automatik dianggap sebagai veteran Umno dan mereka layak menjadi anggota YVM," katanya sempena penutupan Perhimpunan Agung Tahunan Veteran Umno Malaysia ke-5,di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu,  semalam.

Datuk Mustapa berkata ketika ini, terdapat kira-kira 748,000 veteran Umno daripada tiga juta anggota parti itu di seluruh negara, dan beliau yakin ia mampu menjadi sebuah yayasan yang kuat jika setiap veteran menganggotainya. 

Perhimpunan mesyuarat agung tahunan pada 9 hingga 11 November itu disertai lima veteran dari setiap bahagian yang melibatkan 500 orang dari seluruh Malaysia.