Halaman

12 November 2012

Kerajaan timbang Permohonan FRIM Untuk Tanaman Jarak Pagar

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengemukakan permohonan bagi menjalankan projek tanaman jarak pagar secara besar-besaran di Terengganu untuk penghasilan biodiesel.

Sebelum ini, media melaporkan FRIM bercadang untuk membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri bagi meminta kebenaran menggunakan tanah di kawasan pantai untuk menanam pokok jarak pagar dalam penghasilan biodiesel.

Ini berikutan, FRIM telah berjaya menghasilkan biodiesel dari pokok jarak pagar pada tahun lalu dan yakin penggunaan sumber bahan mentah itu sebagai bahan bakar yang lebih mesra alam seterusnya mampu menggantikan petroleum.

Projek ini dijangka mampu memberi sumber pendapatan kepada penduduk yang terlibat dengan penanaman tumbuhan itu dan ketika ini sebanyak 6,000 batang pokok spesies itu telah ditanam di stesen penyelidikan FRIM di daerah Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri mempunyai polisi tersendiri untuk meluluskan apa jua projek.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri belum menerima sebarang permohonan lagi berkenaan perkara tersebut. Namun sekiranya FRIM membuat permohonan, pihak kita akan meneliti terlebih dahulu justeru itu projek ini perlulah ada hasil kajian penyelidikan yang berjaya.


 “Sekiranya sesuatu permohonan projek yang ingin dijalankan dalam negeri Terengganu boleh membawa pulangan yang lumayan kepada rakyat dan negeri, mengapa tidak kita luluskan sahaja,” katanya sewaktu diminta mengulas isu ini selepas merasmikan Majlis Berkhatan Secara Beramai-ramai Peringkat Dun Kijal 2012 yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi Padang Kubu.

Seramai 120 peserta mengambil bahagian dan lebih meriah lagi mereka telah dimandikan dengan air dari pili bomba oleh Menteri Besar sendiri yang sebelumnya diarak dengan traktor dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.