Halaman

15 November 2012

IPGKDRI adakan misi kemanusiaan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 27 guru pelatih termasuk empat pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) Kuala Terengganu akan mengadakan program Misi Kemanusiaan – Dana Kemboja 2012 selama enam hari mulai 18 November ini.

Program yang bertemakan ` Kemanusian Penyelamat Kesejahteraan Sejagat’ adalah untuk membantu pendidikan di Kemboja serta menyalurkan sumbangan bagi membina bilik darjah (kelas) yang akan dikenali Akademi Imam Syafei-Dana Kemboja di Kampot Phnom Penh.

Pensyarah Penasihat program, Puan Anisah Harun berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah untuk memupuk nilai prihatin dan kasih sayang kalangan pelatih di samping membantu masyarakat Islam di Kemboja khususnya dalam bidang pendidikan.

Katanya, program itu juga menjadi medan latihan dan praktikal kepada pelatih dalam usaha memupuk nilai-nilai murni kemanusian serta mempelajari pengurusan aktiviti antarabangsa sejajar dengan peranan mereka sebagai bakal pendidik.

Beliau juga berharap, program yang berorentasikan antarabangsa itu dapat menimba pengalaman luas sekaligus berpeluang melakukan khidmat sosial kepada manusia lain terutama masyarakat Islam yang kurang berkemampuan

``Sepanjang enam hari berada di negara itu peserta akan bergotong royong membina bilik darjah di samping mengadakan aktiviti menziarah keluarga miskin dan menyampaikan sumbangan,

Selain itu turut mengadakan aktiviti sukaneka bersama penduduk setempat dan majlis dialog bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai masyarakat di situ,’’ katanya.